NAJIB pada prosiding bela diri di Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Aswadi Alias.
NAJIB pada prosiding bela diri di Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Aswadi Alias.
BERNAMA

PENDAKWAAN kes Datuk Seri Najib Razak membabitkan dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini memohon untuk mencabar kredibiliti bekas Perdana Menteri itu.

Ia berikutan percanggahan dalam keterangannya di mahkamah dan yang diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram membuat permohonan itu di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali untuk memulakan prosiding mencabar kredibiliti Najib mengikut Seksyen 145 dan 155 Akta Keterangan.

Sebelum itu, Najib bersetuju dengan Sithambaram terdapat percanggahan serius dalam keterangannya dan apa yang dicatatkan oleh SPRM.

Sithambaram menyoal Najib sama ada beliau bersetuju terdapat percanggahan serius dalam apa yang beliau nyatakan dalam kenyataan saksi dan apa yang dicatatkan oleh SPRM apabila disoal suruhanjaya itu semasa siasatan berhubung kes rasuah membabitkan SRC.

Kepada soalan lain, Najib mengakui apa yang beliau katakan kepada SPRM dan apa yang beliau nyatakan di mahkamah, amat berbeza.

Bagaimanapun, Najib berkata, terdapat alasan berhubung perkara itu.

Beliau cuba menjelaskannya, tetapi Timbalan Pendakwa Raya memaklumkan bahawa beliau mempunyai peluang untuk berbuat demikian kemudian.

Sementara, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Harvinderjit Singh berkata, anak guam mereka sudah menjelaskan perbezaan dalam pernyataannya yang dicatatkan oleh SPRM.

Selepas perbicaraan berehat sebentar, mahkamah menolak permohonan pendakwaan itu dengan hakim mengatakan tidak ada percanggahan material dalam pernyataan Najib kepada SPRM dan keterangannya di mahkamah.

“Tiada alasan untuk pihak pendakwaan meneruskan proses pencabaran... Oleh itu pendakwaan boleh meneruskan pemeriksaan balas,” kata hakim itu.

Ahli Parlimen Pekan itu kemudiannya ke tempat duduk saksi dan beliau kemudiannya disoal balas oleh Sithambaram.

Pada 11 November lalu, mahkamah memerintahkan Najib, 67, membela diri terhadap masing-masing tiga tuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram serta satu pertuduhan salah guna kedudukan berkaitan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International.

Perbicaraan di hadapan hakim Mohd Nazlan bersambung.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 January 2020 @ 5:11 PM