Pegawai Penyiasat SPRM, Mohd Nasharudin. FOTO Aswadi Alias
Pegawai Penyiasat SPRM, Mohd Nasharudin. FOTO Aswadi Alias
BERNAMA

PEGAWAI penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan seorang peguam yang juga bekas penasihat undang-undang MIC Datuk Selva Mookiah berada di Riyadh, Arab Saudi pada November 2015 ketika SPRM melakukan siasatan berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di sana.

Asisten Komisioner SPRM, Mohd Nasharudin Amir, 48, yang sebelum ini pegawai penyiasat kes 1MDB membabitkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa SPRM ke Riyadh pada 29 November 2015 bagi merakam percakapan seorang individu didakwa sebagai seorang putera Arab Saudi, Putera Saud Abdul Aziz .

Saksi pembelaan kesembilan itu berkata demikian ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram pada perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd yang memasuki hari ke-86 hari ini.

Mohd Nasharudin berkata semasa di Riyadh, SPRM juga mengambil keterangan Eric Tan Kim Loong yang didakwa sebagai sekutu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Sithambaram: Mengikut pengetahuan kamu, dalam kapasiti apakah Selva berada di sana dan beliau mewakili siapa?

Mohd Nasharudin: Saya tidak pasti tentang tugasan beliau di Riyadh, saya cuma tahu beliau seorang peguam dan berada di Riyadh ketika itu.

Sithambaram: Adakah pada bila-bila masa di sana Selva memberitahu kamu bahawa beliau adalah peguam yang mewakili Tan Kim Loong?

Mohd Nasharudin: Tidak.

Pada prosiding itu, pihak pembelaan Najib yang diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah juga memanggil dua lagi pegawai SPRM yang merupakan saksi pembelaan ke-10 dan ke-11 iaitu Azhari Karim dan Ting Ing Ping bagi mengesahkan rakaman percakapan Jho Low dan Eric Tan yang diambil pada 2015.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya yang disepina dua hari lepas hadir ke mahkamah untuk memberikan keterangan bagi pihak pembelaan.

Latheefa bagaimanapun memberitahu Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali beliau mempunyai mesyuarat penting yang turut dihadiri ketua agensi lain dan memohon memberi keterangan pada Khamis ini.

Hakim Mohd Nazlan membenarkan permohonan itu.

Sebelum prosiding hari ini berakhir, Muhammad Shafee memaklumkan mahkamah bahawa bekas ketua pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan bekas ketua setiausaha sulit Najib, Tan Sri Shukry Mohd Salleh juga disepina untuk memberi keterangan di mahkamah.

Najib membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyalahgunakan sebanyak RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd yang terdiri daripada tiga pertuduhan pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan berhubung dengan dana SRC.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan bersambung esok. – Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2020 @ 3:29 PM