SEBAHAGIAN yang ditahan dalam serbuan PGA akibat menjalankan aktiviti perjudian sabung ayam. FOTO Norsyazwani Nazri
SEBAHAGIAN yang ditahan dalam serbuan PGA akibat menjalankan aktiviti perjudian sabung ayam. FOTO Norsyazwani Nazri
Norsyazwani Nasri


SERAMAI 47 kaki sabung ayam ditahan dalam serbuan di markas kegiatan itu di Pulau Kerto Durin, Sibu, semalam.

Lokasi sama pernah beberapa kali diserbu pihak berkuasa, namun kembali menjadi tumpuan penganjur dan tahi judi sabung ayam.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, dalam serbuan 5.15 petang itu, seramai 47 lelaki berusia 24 hingga 80 tahun ditahan.

Katanya, serbuan yang dilakukan Pasukan Gerakan Am (PGA) Sibu itu turut merampas pelbagai barangan yang digunakan dalam aktiviti perjudian itu sebagai barang kes.

“Antara dirampas adalah tujuh ayam sabung jantan, 82 bilah taji ayam, seunit penimbang, loceng, jam dinding dan alat penimbang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, turut dirampas dua unit papan kenyataan, sebilah parang, kalkulator, mesin pencetak, 820 keping cip bulat, 117 keping cip segi empat, dua set judi holo, 15 set daun terup dan sembilan biji dadu.

Katanya, semua suspek bersama barang rampasan dibawa ke Balai Polis Sentral Sibu untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah seksyen 3(1) Ordinan Penganiayaan Terhadap Binatang 1960.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 January 2020 @ 3:33 PM