KHEMAH didirikan khas untuk kegiatan sabung ayam. FOTO MELVIN JONI
KHEMAH didirikan khas untuk kegiatan sabung ayam. FOTO MELVIN JONI
Melvin Joni


Padawan: Sepuluh kaki sabung ayam ditangkap ketika sedang menjalankan kegiatan sabung ayam di kawasan tanah lapang di Matang, Jalan Batu Kawa-Bau, Ahad lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Shyong berkata, kesemua lelaki tempatan berusia 29 hingga 73 tahun itu diberkas dalam serbuan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan dan Balai Batu Kawa sekitar 3.30 petang.

"Pasukan serbuan turut merampas barang yang digunakan ketiga kegiatan perjudian itu diadakan iaitu seekor ayam sabung mati, enam ekor ayam sabung hidup, penimbang, sekeping kotak bertulis pertaruhan, dua meja plastik, lapan kerusi plastik, kain judi holo, daun terup, 37 biji dadu serta wang tunai berjumlah RM115," katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, Lim berkata semua suspek akan dituduh mengikut Seksyen 3(1) Langkah-Langkah Pencegahan Dan Penganiayaan Terhadap Binatang 1962.

"Semua suspek juga melanggar peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kerana gagal menjaga penjarakkan fizikal ketika berada di tempat kejadian dan akan dituduh mengikut peraturan 3 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

"Lima daripada suspek juga didapati mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan perjudian dan kanun keseksaan.

Lim berkata kesemua suspek telah membayar wang jaminan RM500 seorang serta dibebaskan dengan jaminan mahkamah.

Sabit kesalahan di bawah Seksyen 73(1)(g) Ordinan Veterinar Kesihatan Awam 1999 boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Manakala bagi kesalahan di bawah PKPP, beliau berkata kompaun telah dikeluarkan kepada kesemua suspek di Balai Polis Kota Sentosa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2020 @ 2:05 PM