ARSAD dan Muhammad Noor Hamdan (kiri) menunjukkan keadaan rumah dan kereta yang musnah terbakar. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
ARSAD dan Muhammad Noor Hamdan (kiri) menunjukkan keadaan rumah dan kereta yang musnah terbakar. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Oleh Noor Hidayah Tanzizi


ENAM beranak menyambut Tahun Baharu 2020 dalam keadaan duka apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Taman Mas, Kampung Koh, Sitiawan, hari ini.

Dalam kejadian jam 12 tengah malam itu, sebuah kereta Perodua Viva dan dua motosikal turut musnah terbakar.

Menceritakan detik cemas itu, Muhammad Noor Hamdan Ahmad Zahari,32, berkata, ketika kejadian dia dan isteri, Aishah Nadia Ashiqin Arsad, 30, dan ibu mentua, Sarimahtun Saadiah Mohd Kasim, 62, sedang tidur.

Bagaimanapun, tiga lagi ahli keluarga lain termasuk bapa mentuanya yang juga pemilik rumah, Arsad Md Ariffin, 60, tiada di rumah ketika kejadian itu.

“Kejadian disedari isteri yang terbau asap dan selepas melihat ada api saya bersama isteri yang mengandung enam bulan terus keluar dari rumah, namun kami masuk semula selepas melihat ibu mentua tiada di luar.

“Kami bersyukur dapat membawa emak yang tidur di bilik belakang keluar, namun isteri terpaksa ditahan di wad kecemasan Hospital Seri Manjung kerana mengalami masalah pernafasan akibat terhidu asap namun keadaannya stabil,” katanya ketika ditemui.

Muhammad Noor Hamdan berkata, api dikatakan bermula dari luar rumah dan dipercayai disebabkan mercun selepas dua tiga individu tidak dikenali bermain mercun berhampiran kawasan rumahnya.

“Memang tidak boleh nak tidur dan beberapa kali saya terdengar bunyi letupan mercun dan mungkin itu yang menjadi puncanya kerana di luar tiada pendawaian... Hanya ada kereta, motosikal dan sofa.

“Selain motosikal dan kereta, semua kelengkapan rumah serta barang kelengkapan bayi pertama kami juga musnah terbakar.

“Saya hanya sempat menyelamatkan sebuah kereta dan motosikal saja,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan, Mohd Zaki Zainol berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian jam 12.13 tengah malam.

“Sebuah rumah dan kereta serta dua motosikal terbakar 90 peratus. Bomba mengambil masa kira-kira sejam untuk memadam sepenuhnya kebakaran itu.

“Operasi tamat jam 2.17 pagi, operasi pemadaman turut membabitkan BBP Seri Manjung dan Pasukan Bomba Sukarela Ayer Tawar,” katanya yang memaklumkan punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 January 2020 @ 1:45 PM