RUMAH terbakar 50 peratus. FOTO ihsan Bomba
RUMAH terbakar 50 peratus. FOTO ihsan Bomba
Noor Hidayah Tanzizi


GARA-GARA mabuk dan bergaduh dengan isteri, seorang lelaki bagai hilang akal apabila membakar rumah mereka di Taman Hijau, Sitiawan, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 11.45 malam daripada orang awam.

Menurutnya, polis yang tiba di lokasi mendapati rumah pasangan terbabit yang masing-masing berusia 40-an itu sedang terbakar.

"Isteri suspek memaklumkan lelaki itu baru sampai ke rumah dalam keadaan mabuk serta membuat bising ketika jiran mereka sedang tidur lalu menegur suaminya yang kemudian berang dan memarahi wanita itu.

"Sebelum membakar rumahnya, lelaki itu melanggar pintu pagar, motosikal dan tiang bumbung rumah jirannya dengan menggunakan pacuan empat roda miliknya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun katanya, ketika api sedang marak, suspek sempat melarikan diri melalui pintu belakang rumahnya.

"Rumah pasangan itu terbakar 50 peratus dan kebakaran berjaya dipadamkan pasukan bomba.

"Kejadian tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa.

"Pemeriksaan lanjut polis turut menemui pistol tiruan berkarat dan sedikit terbakar dalam bilik di rumah berkenaan," katanya.

Nor Omar berkata, polis kini giat mengesan suspek yang mempunyai lima rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

"Kerugian dianggarkan kira-kira RM18,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2020 @ 10:35 AM