Mohd Irwan
Mohd Irwan
Rohaniza Idris


PENDAPATAN bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar antara Januari 2011 hingga Jun 2018 adalah sebanyak RM2.94 juta.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, jumlah pendapatan itu hanyalah kadar gaji diterimanya sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan sahaja tidak termasuk pendapatan lain seperti elaun ahli Lembaga Pengarah yang jauh lebih besar.

Katanya, Mohd Irwan juga memegang jawatan Pengerusi Bukan Eksekutif, Pengarah Bukan Bebas Eksekutif atau Pengarah dalam 23 syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

“Pendapatan Mohd Irwan sebagai Lembaga Pengarah syarikat MKD bagi 2012 hingga Jun 2018 adalah RM3.8 juta,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Lim Lip Eng (PH-DAP Kepong) di Dewan Rakyat semalam.

Lip Eng g dalam soalannya meminta Menteri Kewangan menyatakan jumlah pendapatan yang diperoleh Mohd Irwan dari 2011 hingga kontrak beliau ditamatkan Jun lalu.

Guan Eng berkata, Mohd Irwan telah dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) pada 31 Disember 2010.

Katanya, kemudiannya Mohd Irwan dinaikkan pangkat sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan pada 24 Ogos 2012 dan bersara wajib 6 Mac 2017.

“Beliau seterusnya dilantik ke dalam perkhidmatan kontrak mulai 7 Mac 2017 sehingga 6 Mac 2019.

“Namun, perkhidmatan beliau disingkatkan kepada 13 Jun lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Oktober 2018 @ 1:21 PM