SHAMSUBAHRIN bersama pemandu teksi ketika membuat bantahan berikutan kenyataan Tony Pua. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
SHAMSUBAHRIN bersama pemandu teksi ketika membuat bantahan berikutan kenyataan Tony Pua. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Suhaila Shahrul Annuar

TEMPOH 24 jam diberikan kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bagi memberi penjelasan berhubung kenyataan Setiausaha Politiknya, Tony Pua berkaitan perbincangan antara kerajaan dengan Grab mengenai perkhidmatan pengangkutan perantara ke stesen Projek Transit Aliran Massa (MRT).

Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail mewakili persatuan pemandu teksi mempersoalkan mengapa kenyataan dikeluarkan oleh Tony Pua bukannya Lim Guan Eng sendiri.

"Selain itu, isu kita kenapa Grab? Kenapa bukan 45 syarikat teksi milik Malaysia digabungkan sekali?

"Kalau Grab sahaja dibenarkan, apa akan jadi kepada pemandu teksi yang pagi sampai malam beratur guna meter di semua MRT dan LRT?

"Kita tidak boleh bercakap dengan Tony Pua atau yang lain. Kita kena bercakap dengan Lim Guan Eng kerana isu ini dibangkitkan Setiausaha Politiknya. Kenapa Setiausaha Politik lebih berkuasa dari Lim Guan Eng. Adakah dia mempunyai kuasa untuk bercakap mengenai semua perkara ini?

"Kami beri notis 24 jam untuk Menteri Kewangan berjumpa kami. Kami nak selesaikan isu ini," katanya pada sidang media selepas menyerahkan memorandum bantahan berkaitan perkara itu di Kompleks Kementerian Kewangan di Putrajaya, hari ini.

Memorandum bantahan diserahkan kepada Setiausaha Bahagian Strategi Korporat dan Komunikasi Perbendaharaan Malaysia, Suhaili Ahmad.

Kira-kira 200 pemandu teksi berkumpul di hadapan bangunan Kompleks Kementerian Kewangan di sini hari ini bagi membantah perbincangan antara kerajaan dengan Grab berhubung perkhidmatan pengangkutan perantara ke stesen Projek Transit Aliran Massa (MRT).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Oktober 2018 @ 12:28 PM