Nurul Hidayah Bahaudin


AKIBAT tidak puas hati dengan tindakan pemandu wanita memotong barisan hingga hampir berlaku kemalangan, seorang lelaki bertindak melanggar kereta dan memaki wanita itu dalam kejadian berhampiran simpang empat Taman Anggun Rawang, Rawang, semalam.

Dalam kejadian 9.30 pagi itu, wanita berusia 24 tahun itu memandu kereta Proton Saga BLM di hadapan sebuah bilik pameran di lokasi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, ketika kejadian, lampu isyarat di laluan terbabit rosak dan wanita itu terus memandu dengan memotong barisan memandangkan kenderaan lain berhenti.

“Tiba-tiba lelaki memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 mengejar lalu memotong kereta wanita itu secara mengejut.

“Wanita itu kemudian memberhentikan kenderaan, namun SUV terbabit mengundur lalu melanggar bahagian depan sebelah kiri kereta mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Arifai berkata, pemandu lelaki terbabit kemudian turun dari kenderaannya dan memaki hamun serta menendang kereta mangsa beberapa kali.

PEMANDU lelaki memaki hamun dan menyepak kereta dipandu seorang wanita di Taman Anggun Rawang, Rawang, semalam. FOTO dari video tular.
PEMANDU lelaki memaki hamun dan menyepak kereta dipandu seorang wanita di Taman Anggun Rawang, Rawang, semalam. FOTO dari video tular.

“Kejadian itu menyebabkan pintu depan sebelah kiri dan kanan kereta mangsa kemek selain kemek di bahagian bumper depan akibat dilanggar SUV berkenaan.

“Kakak mangsa yang berada di dalam kereta itu turut merakam kejadian itu sebelum mereka membuat laporan polis kerana takut dan tidak berpuas hati,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menahan pemandu SUV berusia 45 tahun berkenaan di pekarangan Balai Polis Selayang dan merampas kenderaan dipandunya untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Katanya, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya mematuhi peraturan lalu lintas serta undang-undang bagi menjamin keselamatan di jalan raya.

“Orang ramai tidak wajar bertindak sendiri, sebaliknya membuat aduan atau laporan kepada pihak berkuasa sekiranya melihat ada pihak lain melanggar undang-undang,” katanya.

Terdahulu, video berdurasi 15 saat menunjukkan lelaki berkenaan menendang kereta dinaiki mangsa bersama kakaknya tular di media sosial, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Disember 2019 @ 7:32 PM