GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Idris Musa


SEJUMLAH 348 kawasan dengan 328,957 akaun pengguna di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Halem Mat Som berkata, ini kerana Loji Rawatan Air Sungai Semenyih terpaksa dihentitugas sepenuhnya ekoran insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih.

Menurutnya, pasukan pemantauan sungai terdiri daripada Air Selangor dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sudah digerakkan untuk mengenal pasti punca pencemaran bau di sepanjang Sungai Semenyih dan anak sungai di sekitar sungai itu.

“Pihak Air Selangor sudah mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) bagi

menggiatkan bantuan kepada pelanggan yang terjejas ekoran insiden ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pada masa ini, pihaknya masih belum dapat menjangkakan tempoh masa

pengoperasian semula loji dan pemulihan bekalan.

“Ini bergantung kepada tahap pencemaran dan buat masa ini punca pencemaran dan pihak yang bertanggungjawab menyebabkan pencemaran sumber air mentah ini sedang dikenal pasti,” katanya.

Katanya, Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden berkenaan dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa.

“Sila rujuk aplikasi telefon bimbit Air Selangor, Facebook dan Instagram Air Selangor atau laman sesawang kami www.airselangor.com untuk maklumat yang akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.

From: Yeh

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Disember 2019 @ 1:37 PM