GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Gangguan bekalan air di 463 kawasan berikutan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dihenti tugas sementara akibat insiden pencemaran bau, dijangka pulih sepenuhnya pada 6 pagi Isnin ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri dalam kenyataan hari ini berkata, LRA Sungai Semenyih sudah mula beroperasi.

"Bekalan air bagi kawasan terjejas akan mula disalurkan secara berperingkat mulai 6 petang hari ini. Sebanyak 94 lori tangki air sudah digerakkan ke kawasan terjejas dan premis-premis kritikal sepanjang gangguan bekalan air tidak berjadual ini," katanya.

Elina berkata Air Selangor memahami situasi pengguna yang memerlukan air bersih, terutama semasa peningkatan kes Covid-19, sehubungan itu syarikat berkenaan sedang mengambil segala usaha untuk meminimumkan impak gangguan kepada pengguna yang terjejas.

Gangguan bekalan air itu membabitkan 172 kawasan di Petaling, 54 di Hulu Langat, 23 di Putrajaya dan 20 di Kuala Langat.

Orang ramai boleh mendapatkan laporan terkini mengenai gangguan bekalan air menerusi akaun media sosial rasmi Air Selangor iaitu Twitter, Facebook dan Instagram dan laman web www.airselangor.com atau hubungi pusat panggilan 15300.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 September 2021 @ 4:12 PM