RAKAMAN dari udara kawasan banjir di Kampung Orang Asli Pucor Kahang Kluang Johor yang dirakam  Unit Udara Pasukan Bomba dan Penyelamat. FOTO Ihsan Bomba
RAKAMAN dari udara kawasan banjir di Kampung Orang Asli Pucor Kahang Kluang Johor yang dirakam Unit Udara Pasukan Bomba dan Penyelamat. FOTO Ihsan Bomba
Izlaily Nurul Ain Hussein


SERAMAI 200 mangsa banjir di lima daerah terjejas seluruh Johor sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Ini menjadikan jumlah mangsa banjir yang masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini seramai 2,469 orang sehingga 12 tengah hari.

Ia menurun berbanding 8 pagi tadi seramai 2,669 orang.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Johor berkata, lima daerah yang mencatatkan pengurangan mangsa adalah di Segamat yang kini masih terdapat 558 mangsa, manakala Mersing dengan 597 orang masih ditempatkan di PPS.

“Selain itu, Kluang mencatatkan 575 mangsa di PPS, Kota Tinggi (452), Pontian (179) dan Batu Pahat tiada perubahan iaitu seramai 108 mangsa.

“Jumlah keluarga yang terjejas juga berkurangan daripada 716 pada 8 pagi tadi kepada 664 tengah hari ini,” katanya.

Menurutnya, 41 PPS masih dibuka membabitkan enam daerah dengan 14 di Segamat, Mersing (lapan), Kota Tinggi (lima), Pontian (tiga), Kluang (tujuh) dan Batu Pahat (empat).

Bagi jalan yang terputus hubungan, katanya, setakat 12 tengah hari ini, terdapat tiga jalan di Mersing dan tiga jalan di Segamat yang terjejas.

“Di Mersing, jalan utama Tenggaroh ditutup satu lorong untuk kenderaan ringan sahaja, manakala Jalan Telok Arong dan Jalan Tanah Abang ditutup untuk semua jenis kenderaan.

“Manakala, di Segamat, Jalan Paya Balai Badang serta Jalan Putting ditutup untuk semua kenderaan dan Jalan Tumang tidak boleh dilalui oleh kenderaan ringan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Disember 2019 @ 1:20 PM