KOTA Tinggi masih terjejas banjir. FOTO Ihsan JBPM.
KOTA Tinggi masih terjejas banjir. FOTO Ihsan JBPM.
Izlaily Nurul Ain Hussein


SERAMAI 3,957 mangsa banjir masih ditempatkan di 49 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di enam daerah di Johor, setakat 4 petang hari ini.

Bagaimanapun jumlah mangsa itu berkurangan 1,019 orang berbanding 2 petang.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Johor berkata, 49 PPS yang masih dibuka adalah di Segamat dengan 18 PPS, Mersing (sembilan), Kota Tinggi (tujuh), Pontian (tiga), Kluang (lapan) dan Batu Pahat (empat).

“Sebanyak 58 PPS ditutup sejak kelmarin, manakala hari ini sahaja terdapat 19 PPS ditutup bermula 8 pagi tadi,” katanya.

Menurutnya, lima daerah menunjukkan penurunan jumlah mangsa kecuali Kota Tinggi dengan jumlah yang masih tidak berubah berbanding tengah hari.

“Segamat masih terdapat 1,112 mangsa, diikuti Mersing dengan 1,066 orang, Kluang (948), Kota Tinggi (495), Pontian (237) dan Batu Pahat (99),” katanya.

Pada masa sama, katanya, terdapat lima jalan masing-masing tiga di Kota Tinggi dan dua di Mersing yang tidak boleh dilalui kenderaan.

Katanya, di Kota Tinggi, Jalan Lok Heng - Mawai Sungai Mas ditutup bagi laluan kenderaan ringan kerana limpahan di Sungai Semalok, manakala Jalan Mawai Lama ditutup untuk laluan semua jenis kenderaan.

“Di Kota Tinggi juga terdapat cerun runtuh di Lorong Durian 2 menyebabkan jalan Felda Aping Timur terpaksa ditutup untuk laluan semua kenderaan.

“Manakala, di Mersing, Jalan Teluk Arong Seksyen 5.1 dan Jalan Tanah Abang - Jalan Mersing Endau ditutup untuk laluan semua jenis kenderaan akibat cerun runtuh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Disember 2019 @ 6:05 PM