Seli dan ibunya ketika dalam helikopter untuk dibawa ke BBP Gua Musang sebelum dikejarkan ke HGM bagi mendapatkan rawatan hari ini. Foto Ihsan JBPM
Seli dan ibunya ketika dalam helikopter untuk dibawa ke BBP Gua Musang sebelum dikejarkan ke HGM bagi mendapatkan rawatan hari ini. Foto Ihsan JBPM
Ramli Ibrahim

REMAJA Orang Asli patah tangan kanan dan paha kiri selepas terjatuh dari pokok terpaksa dikejar ke Hospital Gua Musang (HGM) dengan penerbangan ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini.

Unit Udara JBPM melakukan penerbangan ihsan dengan membawa Seli Alang, 14, dari Pos Belatim, Gua Musang menggunakan helikopter Agusta A109E pada 12.55 tengah hari.

Pegawai Perhubungan Awam Unit Udara JBPM Pangkalan Subang Mohd Farhan Marzuki berkata, pihaknya menerima laporan seorang remaja cedera dan perlukan rawatan segera daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Gombak pada 9 pagi.

“Pihak kami kemudiannya melakukan persiapan untuk mengadakan penerbangan ihsan kerana keluarga sukar menghantar mangsa ke hospital dengan kenderaan melalui jalan darat.

“Remaja itu sudah dua hari mengalami kecederaan itu dan jalan ke Pos Belatim rosak teruk berikutan musim hujan serta tidak boleh dilalui semua kenderaan,” katanya hari ini.

Mohd Farhan berkata, penerbangan ihsan itu diketuai Juruterbang, Mohd Faizal Abd Latiff dan dibantu penolong juruterbang, Fazli Ezham Jamil berlepas dari Pangkalan Subang pada 11.30 pagi dan kemudiannya mendarat di pekarangan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, 1.30 tengah hari.

Menurutnya, Seli dalam keadaan stabil diiringi ibunya, Alug Alig, 55, kemudiannya dibawa ke HGM dengan ambulans JBPM.

Sementara itu, Alug ketika ditemui berkata, anaknya terjatuh dari pokok rambutan berdekatan rumahnya pada 5 petang Jumaat lalu.

Menurutnya, sudah menjadi kebiasaan anaknya memanjat pokok rambutan ketika bermain bersama rakan yang lain.

“Walaupun pokok rambutan tidak berbuah tetapi anak saya selalu memanjatnya dan terkejut mendengar jeritan Seli yang mengalami kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Disember 2019 @ 3:25 PM