Idah dihantar ke HGM melalui penerbangan ihsan JBPM. FOTO Ramli Ibrahim.
Idah dihantar ke HGM melalui penerbangan ihsan JBPM. FOTO Ramli Ibrahim.
Ramli Ibrahim


“HAMPIR 20 jam anak perempuan saya menahan sakit kerana patah tangan kanan dan bengkak muka selepas terjatuh pokok rambutan sebelum dikejarkan ke Hospital Gua Musang (HGM) pagi ini.

“Anak saya, Idah Atem dihantar ke hospital itu menggunakan penerbangan ihsan bomba (Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” kata Siah Adik, 43, dari Kampung Tendrik, Pos Bihai, Gua Musang.

Siah berkata, anak perempuannya berusia lapan tahun itu dalam keadaan separuh sedar sejak kejadian jam 3 petang semalam.

Katanya, Idah terjatuh dari pokok rambutan dengan ketinggian tiga meter tetapi gagal dikejarkan ke hospital melalui jalan balak kerana rosak teruk.

Menurutnya, bantuan penerbangan ihsan JBPM tiba jam 9.20 pagi selepas dia merujuk insiden itu kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

“Kami sangat berterima kasih kepada bomba dengan bantuan ini dan keadaan Idah kini stabil,” katanya ketika ditemui di HGM.

Siah berkata, anaknya memanjat pokok rambutan berhampiran rumah bersama dua lagi rakannya namun dia terjatuh.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Unit Udara JBPM Pangkalan Subang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Farhan Marzuki berkata, unit udara JBPM itu berlepas dari Pangkalan Subang jam 8.05 pagi.

Beliau berkata, penerbangan helikopter AW 139 (BOC) tiba di Kampung Tendrik sejam kemudian sebelum mendarat di Perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang jam 9.55 pagi.

“Kanak-kanak Orang Asli itu kemudiannya dikejar ke HGM menggunakan ambulans yang disediakan JBPM,” katanya.

Katanya, penerbangan ihsan itu diketuai Juruterbang, Kapten Sidek Abbas dan penerbangan itu kali ketiga tahun ini dalam misi menyelamat Orang Asli sakit kritikal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 4:22 PM