Fazurawati Che Lah


PENGANJURAN International Songket Run 2.0 di Shah Alam, hari ini mencatat sejarah apabila disenaraikan dalam Malaysia Books of Records (MBR) sebagai ‘The Largest Participation In A Songket Running Event’ (Penyertaan Teramai Acara Larian Songket).

Seramai 4,868 peserta yang terdiri daripada pengurusan kanan, penuntut, pensyarah dan orang ramai menyertai larian kali ini yang turut mengenakan pelbagai motif busana songket.

Berkenan melepaskan peserta larian adalah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid berkata, pencapaian itu adalah rekod ke-36 MSU dalam MBR seterusnya menjadikan institusi pengajian tinggi (IPT) paling banyak tersenarai dalam MBR.

“Pencapaian ini adalah kesinambungan kepada pencapaian pada tahun 2018 apabila mencipta rekod baru MBR berkaitan songket iaitu ‘The Largest Number of People Wearing or Having Songket Elements As Part of Their Dressing’.

“MSU melalui Jabatan Pembangunan Pelajar dan Akademik mengambil inisiatif menganjurkan larian berkenaan untuk memberikan pendedahan kepada komuniti tentang kepentingan menghargai warisan songket dari segi pakaian, kraf tangan dan budaya kepada penuntut dan komuniti setempat,” katanya selepas Majlis Perasmian International Songket Run 2.0.

Turut hadir adalah wakil MBR, Nurul Fatihah Mahmood dan Naib Canselor MSU, Prof Puan Sri Dr Junainah Abd Hamid.

ANTARA 4,868 peserta yang menyertai International Songket Run 2.0. FOTO Faiz Anuar
ANTARA 4,868 peserta yang menyertai International Songket Run 2.0. FOTO Faiz Anuar

Penganjuran larian itu juga bermatlamat untuk menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merangkumi pelaksanaan 17 matlamat bagi pembangunan manusia sejagat.

Larian International Songket Run 2.0 meliputi jarak lima kilometer di sekitar Seksyen 13, Shah Alam itu bermula dan berakhir di kampus MSU.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Disember 2019 @ 6:15 PM
TENGKU Permaisuri Norashikin (dua kiri) berkenan menyaksikan penyerahan sijil MBOR daripada Nurul Fatihah (dua kanan) kepada Mohd Shukri (kiri). FOTO Faiz Anuar
TENGKU Permaisuri Norashikin (dua kiri) berkenan menyaksikan penyerahan sijil MBOR daripada Nurul Fatihah (dua kanan) kepada Mohd Shukri (kiri). FOTO Faiz Anuar