Penduduk mencuci rumah selepas banjir melanda Kampung Chuchoh Puteri, Ahad lalu. FOTO Syamsi Suhaimi
Penduduk mencuci rumah selepas banjir melanda Kampung Chuchoh Puteri, Ahad lalu. FOTO Syamsi Suhaimi
Siti Rohana Idris


KERAJAAN Kelantan menafikan banjir yang berlaku di Chuchoh Puteri, Kuala Krai baru-baru ini disebabkan kegiatan pembalakan sebaliknya mungkin berpunca daripada aktiviti penerokaan haram.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, kegiatan pembalakan dijalankan di luar kawasan Sungai Rek secara sah dan berlesen.

“Bila kita minta penjelasan Pejabat Perhutanan, memang benar berlaku (pembalakan), tapi di luar kawasan Sungai Rek dan dilakukan secara lesen.

“Kalau ingin mengaitkan kejadian itu (banjir di Chuchoh Puteri) dengan aktiviti pembalakan, itu tidak betul sebab ia dijalankan mengikut kaedah ditetapkan dan secara berperingkat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berkhatan Perdana Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pekan hari ini.

Seramai 120 kanak-kanak DUN itu mendaftarkan diri untuk program berkhatan yang dijadikan acara tahunan itu.

Ahmad berkata, pihaknya sudah mengarahkan Pejabat Tanah dan Galian serta Pejabat Perhutanan Negeri membuat semakan terperinci berhubung aktiviti penerokaan haram di kawasan itu.

Katanya, tindakan segera akan diambil jika terdapat aktiviti penerokaan haram.

“Saya sudah arahkan pihak berwajib menyiasat secara rapi dan jika ada (penerokaan haram), itu tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, penempatan penduduk di Kampung Chuchoh Puteri dibadai fenomena ‘kepala air’ dan 20 keluarga yang terperangkap dalam kejadian itu terpaksa dipindahkan ke kawasan selamat oleh pasukan keselamatan.

Terdahulu, satu rakaman video tular di Facebook (FB) dan WhatsApp menunjukkan arus deras di kampung itu.

Mengulas mengenai gelombang kedua yang dijangka berlaku pada 25 atau 26 Disember ini, Ahmad meminta orang ramai lebih berwaspada dan membuat persiapan awal.

“Jawatankuasa pengurusan banjir juga sudah bersedia termasuk bekalan makanan di pusat pemindahan sementara (PPS) yang akan beroperasi bila-bila masa diperlukan.

“Saya harap semua sudah mengambil pengajaran gelombang pertama apabila taburan hujan berlaku lebih daripada jangkaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 11:32 AM