Rizanizam Abdul Hamid


LELAKI dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, hari ini, atas pertuduhan mencabul dan mengaibkan kehormatan wanita, Mac lalu.

Tertuduh berusia 60 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Teoh Shu Yee.

Bagi tuduhan pertama, tertuduh yang sudah berkahwin didakwa dengan sengaja menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa yang juga ahli keluarga adik iparnya di di sebuah rumah di Bukit Rambai, Melaka, kira-kira 12 tengah hari, 15 Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa mengeluarkan kata-kata dengan maksud mengaibkan kehormatannya, pada masa dan lokasi sama.

TERTUDUH dibawa ke mahkamah. FOTO Rasul Azli Samad
TERTUDUH dibawa ke mahkamah. FOTO Rasul Azli Samad

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal mencadangkan jaminan sebanyak RM6,000 ditawarkan kepada tertuduh selain diminta tidak mengganggu mangsa.

Tertuduh yang diwakili peguam Mohd Farid kemudian merayu agar jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan hanya berpendapatan pencen RM800 sebulan selain perlu menyara diri dan isteri berusia 60 tahun.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa.

Majistret kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 11 Februari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Disember 2019 @ 12:22 PM