MAYAT mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat. FOTO Ihsan PDRM
MAYAT mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat. FOTO Ihsan PDRM
Asrol Awang


KANAK-KANAK perempuan yang hilang selepas tergelincir ke dalam Sungai Lipis dekat Kampung Penjom, Lipis, Isnin lalu, ditemui lemas hari ini.

Mayat Nur Dhiya Aqilah Khairul Adli, 6, ditemui terapung kira-kira empat kilometer (km) dari tempat dia terjatuh ke dalam sungai, jam 8.04 pagi.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, selepas ditemui, mayat dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk dibedah siasat.

“Sehubungan itu, operasi pencarian mangsa dihentikan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi, Isnin lalu, Nur Dhiya Aqilah dikatakan terjatuh ke sungai berkenaan sebelum hilang dihanyutkan arus.

Berikutan itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang menggerakkan operasi mengesan kanak-kanak berkenaan.

Operasi dibantu oleh polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Disember 2019 @ 10:11 AM