IHSAN Bomba dan Penyelamat
IHSAN Bomba dan Penyelamat
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


DUA beranak lemas manakala seorang lagi masih hilang selepas dikatakan mandi di Sungai Lipis Batu 13, Jalan Benta-Kuala Lipis, Lipis kira-kira 4 petang, hari ini.

S Ravandran, 46, ditemui pada 4.25 petang manakala anaknya R Pravendran, 17, dijumpai 41 minit kemudian di kawasan sungai yang turut menjadi kawasan pengorekan pasir.

Komander Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Lipis, Shahrulnizam Nasir, berkata pihaknya menerima panggilan awam sebelum bergegas ke lokasi kejadian bagi mencari semua mangsa.

"Mereka dipercayai dihanyutkan arus sungai selepas mandi di kawasan itu.

"Usaha mengesan mangsa ketiga masih diteruskan termasuk bantuan dari Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) bomba Pahang," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Difahamkan, seorang lagi mangsa yang masih belum ditemui mempunyai pertalian persaudaraan dengan dua mangsa terbabit dan dikenali sebagai G Eswar, 15.

Shahrulnizam berkata, operasi mencari masih diteruskan dengan bantuan bot penyelamat selain pertolongan orang awam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2017 @ 8:30 PM