TIMBALAN KSU (Pembangunan) MOA, Datuk Salim Parlan (empat dari kiri) melakukan gimik pelancaran logo baru QFish sempena HPPNK 2019 di Johor Bahru. FOTO Hairul Anuar Rahim.
TIMBALAN KSU (Pembangunan) MOA, Datuk Salim Parlan (empat dari kiri) melakukan gimik pelancaran logo baru QFish sempena HPPNK 2019 di Johor Bahru. FOTO Hairul Anuar Rahim.
Mohamad Hussin


KERAJAAN memperkenalkan program QFish sebagai antara usaha menstabilkan harga dan bekalan ikan negara serta mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, QFish adalah ikan segar dibekukan menggunakan teknologi pembekuan pantas individu (IQF).

“Ia membabitkan lapan spesies ikan kegemaran rakyat dipilih iaitu ikan kembung, selar, pelaling, selayang, cencaru, tilapia, keli dan aya atau tongkol dengan harga jualan maksimum RM10 sekilogram.

“Program ini bertujuan membantu menstabilkan bekalan dan harga ikan dalam mengurangkan impak peningkatan kos sara hidup rakyat.

“Selain harganya murah, ia bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat menerusi pemakanan ikan sebagai sumber protein utama dalam diet pemakanan harian masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran logo baru QFish sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2019 di Pavilion MySeafood, di Johor Bahru, hari ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Datuk Haslina Abdul Hamid.

Hadir sama, Ketua Pengarah LKIM Jamaludin Othman, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) LKIM Raja Kahalid Raja Ariffin dan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) LKIM Untong Keri.

Muhammad Faiz berkata, sebelum dijenamakan semula QFish dikenali sebagai Ikan Rakyat yang diperkenalkan pada 2013.

“Sejajar dengan penjenamaan semula Program Ikan Rakyat kepada Program QFish, logo QFish diperkenalkan pada 2016.

“Strategi LKIM dalam mengukuhkan dan membina kepercayaan terhadap jenama ikan segar beku QFish selain memupuk kesedaran kepada masyarakat.

“Kita berusaha memperoleh cap dagang untuk jenama QFish. Tahun ini adalah detik bersejarah kepada LKIM kerana Cap Dagang QFish diterima sebagai cap dagangan berdaftar di Malaysia,” katanya.

Menurutnya, logo QFish baru diubah suai sedikit bagi memenuhi pendaftaran cap dagang.

Katanya, logo Qfish baru berjaya didaftarkan sebagai cap dagang pada 3 Julai lalu melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 November 2019 @ 10:57 PM