BAS persiaran serta kereta terbabit dalam kemalangan 11 kenderaan selepas terowong Genting Sempah menghala ke Plaza Tol Gombak, malam tadi. FOTO ihsan pembaca.
BAS persiaran serta kereta terbabit dalam kemalangan 11 kenderaan selepas terowong Genting Sempah menghala ke Plaza Tol Gombak, malam tadi. FOTO ihsan pembaca.
Mohd Azam Shah Yaacob


LALUAN Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak (KLK) selepas terowong Genting Sempah menghala Plaza Tol Gombak sesak teruk akibat kemalangan membabitkan 10 kereta dan sebuah bas persiaran, malam tadi.

Kemalangan pada 7.30 malam itu menyebabkan dua kanak-kanak serta seorang wanita cedera, namun tidak membabitkan kematian.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata, seramai 19 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.

Katanya, sebaik sampai ke lokasi, pihak bomba mendapati berlaku tumpahan minyak di atas jalan dipercayai daripada kenderaan terbabit kemalangan itu.

“Mangsa cedera membabitkan dua kanak-kanak dan wanita dihantar ke Hospital Selayang (HS) bagi mendapatkan rawatan.

“Manakala kerja pembersihan tumpahan minyak itu masih dijalankan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut PGO Selangor, selain itu kerja mengalihkan kenderaan terbabit kemalangan masih dilakukan.

“Buat masa ini laluan berkenaan masih sesak susulan kerja mengalih kenderaan serta pembersihan tumpahan minyak yang berlaku.

“Kerja pembersihan akan mengambil masa berikutan tumpahan minyak mengalir di laluan berkenaan yang menuruni bukit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 November 2019 @ 1:15 AM