Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS membongkar operasi makmal memproses dadah heroin di kawasan penternakan lembu dan ikan di Bukit Beruntung, Hulu Selangor, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, serbuan jam 12.30 tengah hari dilakukan selepas melakukan risikan hampir sebulan di lokasi berkenaan.

“Hasil serbuan, kami menahan 11 individu termasuk seorang wanita berusia 34 hingga 53 tahun yang sedang sibuk memasak dadah.

“Mereka ditahan membabitkan lapan individu warga tempatan termasuk seorang wanita dan masing-masing seorang lelaki warga India, Myanmar dan Indonesia,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, hari ini.

Mohd Khalil berkata, pihaknya merampas 15.97 kilogram dadah jenis heroin bernilai RM212,880 dan dadah jenis kafein 28.8 kilogram bernilai RM10,080 selain tiga kenderaan dianggarkan bernilai RM33,000.

MOHD Khalil (tengah) menunjukkan peralatan dan bahan memproses dadah heroin dirampas pada sidang media di IPD Gombak. FOTO OWEE AH CHUN
MOHD Khalil (tengah) menunjukkan peralatan dan bahan memproses dadah heroin dirampas pada sidang media di IPD Gombak. FOTO OWEE AH CHUN

“Sindiket ini dipercayai aktif sejak setahun lalu dengan menjadikan kawasan penternakan lembu dan ikan sebagai tempat operasi memandangkan lokasi berkenaan terletak di kawasan terpencil selain mengaburi pihak berkuasa.

“Difahamkan seorang daripada suspek ditahan adalah pakar kimia tidak bertauliah yang mempelajari kaedah memasak dadah melalui kenalan ketika berada dalam penjara sebelum ini.

“Berdasarkan jumlah bahan kimia dirampas, ia boleh dijadikan bekalan operasi memproses dadah di makmal berkenaan bagi tempoh lima bulan sebelum dijual bagi pasaran tempatan. Difahamkan bahan kimia digunakan diseludup dari luar negara,” katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati empat daripada 11 suspek ditahan mempunyai rekod jenayah dan dadah.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati semua suspek negatif dadah. Mereka direman selama tujuh hari bermula 27 November hingga 3 Disember untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, seramai 334 individu yang juga tokan dadah ditahan dalam Operasi Damn Tokan 4.0 yang dilaksanakan di seluruh negara.

“Sehingga kini, seramai 1,804 tokan dadah ditahan menerusi empat siri operasi di seluruh negara.

“Operasi ini akan dilakukan berterusan dalam usaha JSJN membanteras tokan dadah, sekali gus membersihkan gejala dadah di negara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 November 2019 @ 12:50 PM