KHALID Samad. FOTO arkib NSTP
KHALID Samad. FOTO arkib NSTP
Mohd Husni Mohd Noor


“SAYA bukan broker tetapi tawaran itu dibuat berdasarkan nilai semasa oleh jabatan kerajaan sendiri,” kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad.

Beliau memaklumkan perkara itu pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Istilah ‘broker’ yang digunakan Khalid mencetuskan riuh-rendah di Dewan Rakyat.

Awang Hashim (PAS-Pendang) ketika mencelah mengingatkan Khalid supaya menjawab soalan ditanya tanpa perlu menyentuh perkara tidak berkaitan.

“Ini bukan Facebook atau Twitter, ini Parlimen, jawablah seperti menteri,” katanya.

Menurut Khalid, harga tanah yang ditawarkan kepada penduduk Kampung Baru adalah berdasarkan penilaian pasaran semasa dan bukan spekulasi.

“Selain harga yang tertinggi pernah ditawarkan, penilaian turut dilakukan secara sah oleh Jabatan Perkhidmatan dan Penilaian Harta (JPPH).

“Tawaran harga kerajaan itu dibuat dengan hanya satu matlamat iaitu memastikan pembangunan Kampung Baru dapat direalisasikan.

“Kita adalah kerajaan dan bukan syarikat berniaga, maka kita beli (tanah) selepas penilaian dibuat JPPH dan bukan berdasarkan spekulasi,” katanya.

Katanya, kerajaan tidak beli dengan harga zaman dulu atau akan datang kerana itu spekulasi oleh orang yang bertindak sebagai broker.

Bagi menjawab soalan tambahan dikemukakan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai), Khalid memaklumkan, harga RM1,000 bagi sekaki persegi yang ditawarkan kepada penduduk Kampung Baru tidak sepatutnya dibanding dengan tanah di sekitar kawasan Menara Berkembar Petronas (KLCC).

“Tanah KLCC bernilai RM3,000 sekaki persegi tetapi itu selepas bangunan berkenaan dibina.

“Sebelum itu, ketika tanah di situ masih tapak lumba kuda dan sebelum pembinaan KLCC, nilainya cuma RM400 sekaki persegi.

“Bagaimanapun Kampung Baru belum dibangunkan dan bila sudah dilaksanakan kelak, harganya pasti naik. Kita minta mereka kekal melabur, beli hartanah supaya dapat manfaat daripada pembangunan akan datang,” katanya.

Setakat ini, katanya, hampir 35 peratus pemilik menyatakan persetujuan manakala selebihnya belum memberi maklum balas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 3:58 PM