KERETA dinaiki mangsa remuk selepas terbabas. FOTO Ihsan Bomba.
KERETA dinaiki mangsa remuk selepas terbabas. FOTO Ihsan Bomba.
Norasikin Daineh


SEORANG maut manakala, empat lagi parah selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Tuaran Bypass berhampiran sebuah sekolah di Kota Kinabalu, hari ini.

Dalam kejadian 5 pagi itu, Amirul Izzat Rahmat, 21, maut, manakala empat lagi, Zulhafiz Pasaran, Mohd Zulhilmi Abdullah, dan Faizam Fasal masing-masing berusia 19 tahun bersama Hafiz Saruji, 23, parah.

Jurucakap Pasukan Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada 5.17 pagi.

Katanya, seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas digerakkan ke lokasi bersama sebuah jentera dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan Bomba (EMRS).

“Menurut komander operasi, kemalangan membabitkan Proton Saga dipercayai terbabas sendiri di bahu jalan dan terdapat lima mangsa lelaki di dalamnya.

“Seorang mangsa tersepit berjaya dikeluarkan pasukan bomba dan didapati mengalami kecederaan parah. Terdapat tiga mangsa yang cedera dikeluarkan orang awam.

“Seorang lagi mangsa lelaki dilaporkan tercampak keluar dari kenderaan dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jurucakap itu berkata, semua mangsa dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada 6.45 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 November 2019 @ 10:07 AM