Pegawai MAQIS Kelantan menunjukkan anak pokok getah berjaya dirampas di ICQS Bukit Bunga, Tanah Merah. Foto Ihsan MAQIS
Pegawai MAQIS Kelantan menunjukkan anak pokok getah berjaya dirampas di ICQS Bukit Bunga, Tanah Merah. Foto Ihsan MAQIS
Syaherah Mustafa


JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kelantan berjaya menggagalkan cubaan seorang wanita menyeludup masuk 50 anak pokok getah di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Bunga, Tanah Merah semalam.

Pengarah MAQIS Kelantan Mohd Azam Yahya berkata, pihaknya menahan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 40-an di laluan penumpang dalam pemeriksaan pada 4.15 petang.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut kemudiannya menemui anak pokok dibalut dengan surat khabar dalam plastik hitam untuk mengaburi pihak berkuasa.

“Siasatan mendapati anak pokok getah bernilai RM150 itu dipercayai dibawa masuk untuk kegunaan sendiri.

“Kami merampas semua anak pokok itu kerana tidak mempunyai sebarang dokumen sah seperti permit import dan sijil fitosanitasi dari negara asal.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) kerana mengimport tanpa permit, perakuan atau lesen yang dikeluarkan MAQIS,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, MAQIS sentiasa mengambil langkah serius bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan terpelihara.

“MAQIS sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk negara ini.

“Pegawai dan anggota bersedia memberi khidmat terbaik selain turut menjalinkan kerjasama erat dengan agensi penguatkuasaan lain dalam membanteras sebarang masalah yang berkaitan dengan MAQIS,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 November 2019 @ 7:10 PM