AYAM sejuk beku yang dirampas. FOTO Ihsan MAQIS
AYAM sejuk beku yang dirampas. FOTO Ihsan MAQIS
Syaherah Mustafa


JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas ayam sejuk beku tanpa permit seberat 3,600 kilogram, bernilai RM30,000 yang dibawa masuk dari Thailand.

Pengarah MAQIS Kelantan, Mohd Azam Yahya, berkata tindakan membawa masuk ayam sejuk beku itu digagalkan oleh Cawangan Risikan Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) dalam Ops Wawasan Kelantan di pangkalan haram sekitar Rantau Panjang pada 3.30 pagi, Ahad lalu.

Katanya, kesemua ayam yang dimasukkan ke dalam 300 kotak itu tidak mempunyai permit import yang sah daripada MAQIS, selain tiada sijil kesihatan dan sijil perakuan halal dari negara asal.

“Sebuah lori yang digunakan untuk mengangkut barangan berkenaan turut ditahan menjadikan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM60,000.

“Kes ini akan disiasat bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728),” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Mohd Azam berkata, pihaknya mematahkan cubaan lelaki warga Thailand membawa keluar 4,200 telur ayam dari Malaysia ke Thailand tanpa sebarang dokumen sah di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Bunga, Tanah Merah, kelmarin.

“Kesemua telur bernilai RM3,000 ini disusun di bahagian tempat duduk belakang penumpang dan but kereta jenis Toyota Caldina yang dipandu suspek dan dipercayai untuk dijual di Thailand.

“Anggota MAQIS turut menemui beberapa paket gula dan minyak masak yang cuba dibawa keluar.

“Telur ayam dirampas kerana tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah seperti permit eksport dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 11(2), iaitu perbuatan mengeksport tanpa sebarang permit, perakuan atau lesen yang dikeluarkan oleh MAQIS,” katanya.

Katanya, jika disabit kesalahan pelaku kepada kedua-dua kes itu boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali, sepertimana kehendak pada Seksyen 11(3) Akta sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Disember 2019 @ 12:47 PM