ENAM daripada tujuh tertuduh menuju ke bilik mahkamah untuk  menetapkan perbicaraan. FOTO Mohd Radzi Bujang
ENAM daripada tujuh tertuduh menuju ke bilik mahkamah untuk menetapkan perbicaraan. FOTO Mohd Radzi Bujang
Garret Dawum


MAHKAMAH Majistret Kuching, hari ini menetapkan 10 hingga 12 Februari tahun depan untuk perbicaraan kes enam lelaki dan seorang wanita yang didakwa tidak menghormati lagu Negaraku, September lalu.

Perbicaraan selama tiga hari itu ditetapkan Majistret Nuruhuda Mohd Yusof.

Tertuduh, Andrew Chong, 33; Kon Tai Keong, 37; Leong Shaow Tung, 43; Bong Sak Sin, 44; Tan Kok Chiang dan Pui Ping Ping masing-masing berusia 46 tahun serta Phang Ngin Pen, 64; mengaku tidak bersalah sebaik kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi pada 11 Oktober lalu.

Kesemua tertuduh juga dibenarkan diikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin tempatan setiap seorang.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa tidak berdiri sebagai tanda hormat ketika lagu kebangsaan dimainkan pada satu majlis makan malam pertubuhan aktivis.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah hotel di Jalan Ban Hock, Kuching, pada 7.15 malam, 27 September lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8(3) Akta Lagu Kebangsaan 1968 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak lebih sebulan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurfazlin Mahmad Zulhasnan dan Hafiz Musa manakala, tertuduh diwakili peguam, Arthur Lee dan Ian Lee.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 November 2019 @ 11:34 AM