Gambar hiasan
Gambar hiasan
Khairul Najib Asarulah Khan


JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membuka laluan khas bagi memudahkan pengundi yang bekerja atau menetap di Singapura untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Pontian, 16 November ini.

JIM dan SPR dalam satu kenyataan bersama memaklumkan, laluan khas itu akan di buka di kaunter JIM di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) Johor Bahru.

“Bagaimanapun, laluan khas itu terhad untuk pengundi yang menggunakan pengangkutan bas dan kereta saja.

“Waktu operasi yang ditetapkan bagi laluan khas berkenaan adalah 24 jam pada 15 November (Jumaat), manakala pada 16 November (Sabtu) laluan khas ini dibuka mulai 12.01 tengah malam hingga 4 petang.

“Bagi mengenal pasti pengundi PRK Tanjung Piai, mereka dinasihatkan supaya membawa bersama slip maklumat semakan daftar pemilih yang mengandungi maklumat pengundian bagi PRK berkenaan.

“Slip semakan daftar pemilih itu juga boleh dicetak daripada portal SPR di https://pengundi.spr.gov.my,” katanya.

Menurutnya, pengundi juga boleh membuat semakan daftar pemilih di aplikasi MySPR Semak pada telefon pintar masing-masing dengan menunjukkan maklumat itu kepada pegawai JIM yang bertugas.

“Maklumat semakan daftar pemilih itu sebagai pengesahan untuk membolehkan mereka menggunakan laluan khas yang disediakan.

“Dalam memastikan inisiatif itu berjalan lancar, JIM akan memastikan sistem pemeriksaan berfungsi dengan baik serta membabitkan pegawai yang bertugas lebih masa dan penugasan semula pegawai akan turut dilaksanakan bagi membantu aspek operasi serta kawalan dalam pelaksanaan laluan khas ini.

“Hebahan maklumat berhubung pelaksanaan laluan khas ini juga akan dibuat dari semasa ke semasa melalui media dan Facebook dan Twitter JIM serta SPR,” katanya.

Untuk sebarang pertanyaan, pengundi PRK Tanjung Piai boleh hubungi JIM di talian 03-88801555 atau SPR di talian 03-88927018.

Talian itu dibuka pada waktu pejabat sehingga jam 5.30 petang, 16 November ini.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 11:56 PM