HALIMAH As Saadiah menjual serendah RM1.50 hingga RM3 di gerai yang diusahakan bersama kakaknya. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
HALIMAH As Saadiah menjual serendah RM1.50 hingga RM3 di gerai yang diusahakan bersama kakaknya. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


BERPEGANG kepada pendirian setiap perniagaan pasti ada keuntungan dan berniaga sambil beramal membuatkan dua beradik nekad memperkenalkan menu serendah RM1.50 di gerai mereka.

Halimah As Saadiah M Kadiri, 29, dan kakaknya, Rabiah Assyamiah, 34, menjual lebih 10 menu seperti nasi lemak, laksa dan mi, bihun serta kuew tiew sup dan kari di Gerai RM1.50 di Kampung Sungai Limau, Lekir di Sitiawan.

Walaupun dengan harga hanya RM1.50, keenakan dan sajian hidangan lengkap dengan taugeh, tauhu, ayam serta daun sup secukup rasa membolehkan kesemua menu ini setanding seperti makanan di restoran biasa.

Menurut Halimah As Saadiah, mereka sudah membuka gerai berkenaan sejak setahun lalu dan ketika itu menu RM1.50 hanya untuk nasi lemak sahaja, manakala makanan lain pula dijual dengan harga RM3.

“Idea memperkenalkan semua menu pada harga RM1.50 datang dari ayah (M Kadiri Tahir, 68) dan sejak tiga minggu lalu kami selaraskan semua harga makanan di sini,” katanya ketika ditemui di gerainya, hari ini.

Halimah As Saadiah berkata, dia dan kakaknya berpegang dengan prinsip setiap perniagaan mustahil tiada keuntungan kerana yang membezakannya hanya keuntungan sedikit atau banyak sahaja.

“Alhamdulillah, sambutan sangat menggalakkan dan bukan sahaja orang kampung, penduduk sekitar dalam serta luar daerah ini turut datang ke sini.

“Kami tidak mahu berkira dengan pelanggan dan maklum balas mereka memberitahu hidangan kami berbaloi, sedap dan puas hati,” katanya.

HALIMAH As Saadiah menunjukkan makanan yang dijual di gerainya. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
HALIMAH As Saadiah menunjukkan makanan yang dijual di gerainya. FOTO Noor Hidayah Tanzizi

Menurutnya, mereka turut menjual tiga jenis roti canai iaitu roti biasa, telur dan boom serta menu istimewa lempeng pisang gabungan pisang nangka dan mas pada harga sama.

“Hidangan roti canai untuk RM1.50 adalah dua keping dan lempeng pisang pula hanya dijual pada Sabtu dan Ahad sahaja,” katanya memaklumkan gerai beroperasi 7 pagi hingga 7 petang dan hanya bercuti pada Rabu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 2:23 PM