Abdul Razak Raaff


PENERIMA anugerah ASEAN Prize 2019, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood mahu menyumbangkan separuh daripada wang USD20,000 (RM83,310) yang diterimanya kepada Yayasan Surin Pitsuwan dan bakinya kepada Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Malaysia.

Pengasas Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY) Malaysia itu, berkata yayasan itu yang baharu didaftarkan Ogos lalu mempromosi bantuan pendidikan, membasmi kemiskinan, meningkatkan hubungan diplomasi dan keselamatan manusia.

Beliau berkata, Allahyarham Surin Pitsuwan yang juga bekas Setiausaha Agung ASEAN dan Menteri Luar Thailand juga adalah mentornya dan banyak kali bekerjasama berkaitan urusan bantuan kemanusiaan termasuk kejadian Taufan Nargis di Myanmar pada 2008.

“Saya banyak belajar daripadanya dan berharap bantuan ini dapat membantu yayasan berkenaan kerana beliau mempunyai visi dan misi besar bagi meningkatkan tahap pendidikan, membasmi kemiskinan, mempromosi hubungan baik antara kaum dan agama.

“Separuh lagi wang ini saya mahu salurkan bagi membantu PBSM Malaysia untuk mengendalikan kerja dan aktiviti kemanusiaan kerana saya kini berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Agung Pertubuhan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa (IFRC).

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Kementerian Luar Negara kerana mencalonkan saya. Anugerah ini dapat cetuskan semangat kepada rakyat Malaysia dan ASEAN sebab saya ingin melihat ramai lagi warga Malaysia dan ASEAN menyertai bidang kemanusiaan dan pembangunan dan sebagai seorang wanita anugerah ini juga satu inspirasi kepada wanita lain.

“ASEAN adalah satu wilayah yang makmur dan banyak peluang ekonomi tetapi banyak risiko bencana yang tinggi dan warga ASEAN tidak memahami bagaimana mengendali, mengurus dan mencegah bencana maka ia akan memberi masalah pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui hari ini.

Dr Jemilah, 59, adalah warga Malaysia pertama yang menerima anugerah yang mula diperkenalkan tahun lalu.

Beliau dipilih sebagai pemenang berdasarkan sumbangannya ke atas bantuan kemanusiaan dan pengurusan bencana di rantau ASEAN.

Beliau menerima piala ASEAN Prize 2019 dan wang tunai USD20,000 (RM83,310) daripada Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-ocha ketika majlis perasmian Sidang Kemuncak ASEAN Ke-35 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen dan Pameran IMPACT, dekat sini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut menyaksikan penyampaian anugerah itu.

Turut hadir, Setiausaha Agung ASEAN, Datuk Lim Jock Hoi.

ASEAN Prize adalah anugerah berprestij rantau ASEAN yang bertujuan mengiktiraf pencapaian individu atau organisasi dalam memupuk identiti dan semangat serantau ke arah pembangunan Komuniti ASEAN menjelang 2025.

Pada 2018, ASEAN Prize yang pertama dianugerahkan kepada bekas Pengerusi ASEAN Autism Network (AAN), Erlinda Uy Koe dari Filipina, sebagai pengiktirafan kepada sumbangan beliau terhadap komuniti autism di rantau ASEAN.

Berita berkaitan

Dr Jemilah menang ASEAN Prize 2019

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 November 2019 @ 3:20 PM