PRAYUT menyampaikan piala ASEAN Prize 2019 kepada Dr Jemilah. Hadir sama, Dr Mahathir dan kepimpinan negara ASEAN. FOTO Bernama
PRAYUT menyampaikan piala ASEAN Prize 2019 kepada Dr Jemilah. Hadir sama, Dr Mahathir dan kepimpinan negara ASEAN. FOTO Bernama
Abdul Razak Raaff


PENGASAS Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia MERCY Malaysia, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood dipilih sebagai pemenang bagi ASEAN Prize 2019 di Bangkok hari ini.

Dr Jemilah, 59, adalah rakyat Malaysia pertama menerima anugerah yang mula diperkenalkan tahun lalu.

Pemenang Anugerah Merdeka 2015 itu dipilih berdasarkan sumbangannya kepada bantuan kemanusiaan dan pengurusan bencana di rantau ASEAN.

Beliau menerima piala ASEAN Prize 2019 dan wang tunai sebanyak USD20,000 (RM83,310) daripada Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-ocha ketika majlis perasmian Sidang Kemuncak ASEAN Ke-35 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen dan Pameran IMPACT.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut menyaksikan penyampaian anugerah itu. Turut hadir, Setiausaha Agung ASEAN, Datuk Lim Jock Hoi.

ASEAN Prize adalah anugerah berprestij rantau ASEAN yang bertujuan mengiktiraf pencapaian individu atau organisasi dalam memupuk identiti dan semangat serantau ke arah pembangunan Komuniti ASEAN menjelang 2025.

Pada 2018, ASEAN Prize yang pertama dianugerahkan kepada bekas Pengerusi ASEAN Autism Network (AAN), Erlinda Uy Koe dari Filipina, sebagai pengiktirafan kepada sumbangan beliau terhadap komuniti autism di rantau ASEAN.

Dr Jemilah yang juga Timbalan Setiausaha Agung Pertubuhan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa (IFRC) berpangkalan di Geneva, Switzerland sejak 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 November 2019 @ 2:57 PM