Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengetuai delegasi Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan pada 26 hingga 28 Oktober ini, melalui persidangan video.  FOTO Twitter Ismail Sabri Yaakob
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengetuai delegasi Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan pada 26 hingga 28 Oktober ini, melalui persidangan video. FOTO Twitter Ismail Sabri Yaakob
BERNAMA

Kuala Lumpur: Malaysia menyokong penuh keputusan Brunei selaku Pengerusi Asean, berhubung isu perwakilan dari Myanmar pada Sidang Kemuncak Asean ke-38 dan ke-39 serta Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata demikian menerusi Twitternya ketika mengulas kenyataan Malaysia pada sidang kemuncak tiga hari yang diadakan secara maya, bermula Selasa.

Ketika mesyuarat menteri luar Asean pada 15 Oktober lalu, blok serantau itu mengambil langkah tegas mengecualikan Myanmar pada Sidang Kemuncak itu selain menolak permintaan kerajaan bayangan Myanmar, Kerajaan Perpaduan Nasional (NUJ) untuk menyertai sidang berkenaan.

Kumpulan serantau itu sebaliknya memutuskan untuk mengundang wakil bukan politik bagi mewakili negara berkenaan.

Sejak kerajaan dipilih rakyat pimpinan Aung San Suu Kyi digulingkan junta pada 1 Februari, kekacauan meletus di Myanmar mengakibatkan hampir 1,000 orang awam terbunuh selepas bertempur dengan pasukan keselamatan.

Pada Sidang Kemuncak Asean ke-38, Ismail Sabri turut menyentuh mengenai wabak Covid-19 dan menggesa Asean meningkatkan kerjasama dengan negara yang mempunyai pemikiran sama serta pertubuhan antarabangsa relevan ke arah memastikan vaksin pada harga mampu milik, mudah diperoleh selain dikongsi secara saksama dan mengutamakan diplomasi kesihatan menerusi kolaborasi lebih meluas.

Sementara itu, beliau berkata, Pasukan Petugas Peringkat Tinggi (HLTF) yang menyediakan Wawasan Komuniti Asean 2025 seharusnya mampu menyiapkan Asean supaya menjadi lebih ampuh dalam menangani cabaran dan menerima perubahan.

Beliau menekankan bahawa perkumpulan serantau itu seharusnya mengenal pasti langkah membolehkan Asean dapat bekerja lebih efisien dan efektif sambil memanfaatkan sepenuhnya sumber.

"Masukkan segala peluang terbit daripada pengalaman dan pengajaran diperoleh daripada pandemik," katanya.

Sementara itu, pada Sidang Kemuncak ke-39, beliau berkata, Malaysia menyeru Myanmar menunaikan komitmennya terhadap penghantaran pulang pelarian selain melindungi mereka yang pulang.

Beliau menyatakan, Malaysia turut berpegang teguh terhadap pendirian bahawa segala aspek berkaitan Laut China Selatan mesti diselesaikan secara aman dan konstruktif sejajar dengan prinsip undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS).

Malaysia turut kekal komited untuk meratifikasi Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) menjelang hujung tahun ini kerana ia membantu mempercepat pemulihan serantau serta menjadikannya lebih berdaya tahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 2:34 PM