KARMAINE bersama penyokong ketika majlis penamaan calon. FOTO Hairul Anuar Rahim
KARMAINE bersama penyokong ketika majlis penamaan calon. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohd Sabran Md Sani


“BAGI saya, peluang setiap calon sama rata dan mungkin ada sedikit kelebihan pada kita (Pakatan Harapan),” kata calon PH bagi Pilihan Raya Kecil (PRK), Tanjung Piai, Karmaine Sardini, 66, di pusat penamaan calon Dewan Jubli Intan di Pontian, hari ini.

Karmaine yang juga Ketua Bahagian BERSATU Tanjung Piai berkata, penting bagi PH terutama BERSATU mengekalkan kemenangan.

“Ia bagi menilai tahap sokongan rakyat kepada kerajaan baharu dan setakat ini kita melihat sokongan yang baik termasuk pengundi Cina.

“Saya tidak nampak mereka tidak tidak bersama-sama kita (mengundi PH),” katanya.

Mengulas berhubung saingan enam penjuru katanya, ia menunjukkan negara ini mengamalkan sistem demokrasi.

“Saingan ini menunjukkan negara ini mengamalkan sistem demokrasi. Sesiapapun boleh bertanding.

“Namun kita melihat kelebihan kepada calon anak tempatan yang dilihat boleh memberi komitmen lebih baik kepada penduduk.

“Bila calon tempatan, sudah pasti kita kenal lebih ramai orang dan tahu apa yang hendak dilakukan untuk kawasan ini,” katanya.

Ditanya pemilihan calon MCA mewakili BN dikatakan memberi kelebihan kepada PH katanya selama ini calon mereka adalah dari MCA.

“Memang sudah banyak penggal, MCA menjadi calon di Tanjung Piai. Cuma kali ini, kedudukan MCA tidak teguh kerana hanya mempunyai satu wakil di Dewan Rakyat sehingga ada yang menyatakan parti itu sudah tidak relevan.

“Tapi itu hanya pandangan semata-mata,” katanya yang kemas bersongkok dan berbaju Teluk Belanga merah.

Isnin lalu, Karmaine diumumkan sebagai calon PH untuk PRK Tanjung Piai oleh Pengerusi PH Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu majlis mengumumkan calon dan pelancaran jentera PRK di Dewan Hai Kee, Pontian.

Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU dipetik sebagai berkata, walaupun ramai calon berkelayakan untuk bertanding di kerusi parlimen itu, pemilihan Karmaine sebagai calon adalah satu pilihan tepat bersesuaian dengan kriteria digariskan PH.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 November 2019 @ 6:02 PM