Mohd Sabran Md Sani


KIRA-KIRA 4,000 penyokong termasuk Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) membanjiri kawasan luar pusat penamaan calon di Dewan Jubli Intan di Pontian, pagi hari ini.

Bahkan penyokong parti politik yang berkampung di daerah ini sejak beberapa hari lalu dilihat memenuhi persekitaran bandar ini seawal 6 pagi dengan memakai baju parti dan bendera.

Tinjauan Harian Metro mendapati semua persiapan termasuk khemah parti sudah dilengkapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pada masa sama, seramai 412 pegawai dan anggota polis ditempatkan di pusat penamaan calon bagi menjamin kelancaran proses penamaan yang dijangka dihadiri 10,000 orang.

Tiga laluan masuk ke pusat itu iaitu Jalan Osman, Jalan Ismail dan Jalan Dewan ditutup bermula 8 pagi hingga 12 tengah hari ini, manakala jalan alternatif disediakan di Jalan Bakek, Jalan Al-Sagoff dan Jalan Parit Mesjid.

CALON Pakatan Harapan, Karmaine Sardini bersama penyokong berarak ke perkarangan dewan ketika majlis Penamaan Calon di Pusat Penamaan Calon PRK P165 Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan, Pontian. FOTO Hairul Anuar Rahim
CALON Pakatan Harapan, Karmaine Sardini bersama penyokong berarak ke perkarangan dewan ketika majlis Penamaan Calon di Pusat Penamaan Calon PRK P165 Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan, Pontian. FOTO Hairul Anuar Rahim

Dalam pada itu, penempatan penyokong mengikut zon iaitu Zon A bagi Pakatan Harapan (PH) di Laman Diraja Pontian; Zon B untuk Barisan Nasional (BN) bersebelahan tempat letak kereta Keretapi Tanah Melayu (KTM), manakala parti lain termasuk penyokong calon Bebas ditempatkan di hadapan dewan.

Calon PH, Karmaine Sardini, 66, tiba di khemah pusat penamaan calon pada 8.20 pagi diiringi Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Karmaine lengkap berbaju Teluk Belanga merah diiringi penyokong parti bersama bendera PH.

Calon Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Wendy Subramaniam yang juga Timbalan Setiausaha Agung Gerakan tiba pada 8.30 pagi.

Calon BN, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng yang juga Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai tiba 8.50 diiringi Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Manakala Presiden Berjasa, Dr Badhrulhisham Abdul Aziz mewakili BERJASA.

Sementara itu, Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun turut dilihat memantau pusat penamaan calon seawal 7.30 pagi.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 November 2019 @ 9:27 AM