GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Recqueal Raimi


LELAKI berusia 23 tahun dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Merugin 2, dekat Ranau, semalam.

Dalam kejadian 12 tengah hari itu, mangsa dikatakan cuba menangkap ikan celah batu di sungai berkenaan sebelum hilang sejurus selepas itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada 12.30 tengah hari, sebuah jentera bersama empat anggota dikerah ke lokasi kejadian.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan serta merta sejurus tiba, namun terpaksa ditangguhkan pada 6 petang, berikutan cuaca mulai gelap dan disambung pada 7 pagi, hari ini.

“Sehingga kini, operasi mencari dan menyelamat pasukan bomba masih belum menemui sebarang petunjuk.

“Radius pencarian diperluaskan sehingga dua kilometer di sepanjang Sungai Marugin 2 dengan bantuan penduduk kampung,” katanya dihubungi hari ini.

Terdahulu, sepupu mangsa mahu dikenali Normi, 31, berkata, mangsa tidak berbaju dan berseluar pendek ketika mandi di sungai berkenaan.

“Mangsa juga ada memaklumkan mahu menangkap ikan menggunakan tangan di celah batu sungai sebelum hilang tanpa kesan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 November 2019 @ 9:55 AM