Gambar hiasan
Gambar hiasan
Junaidi Ladjana

DUA lelaki bernasib baik apabila hanya cedera di beberapa anggota badan terkena peluru sesat ketika berehat di tebing Sungai Mohimboyon, Ranau selepas menangkap katak untuk dijadikan umpan memancing, semalam.

Dalam kejadian 7.30 malam itu, kedua-dua mangsa berusia 41 dan 36 tahun itu cedera di hidung, dada dan perut dirawat di Hospital Ranau sebelum dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Mohd Shahrul Abdul Wahab berkata, ketika kejadian mangsa bertiga dalam perjalanan ke Sungai Mohimboyon untuk mencari katak umpan memancing.

“Ketika sedang berehat di tebing sungai, tiba-tiba terdengar tembakan dari arah bukit berhadapan sungai berkenaan.

“Sejurus kemudian kedua-dua mangsa menghampiri rakannya dan memaklumkan terkena tembakan.

“Bimbang keselamatan, mereka terus beredar dan membuat laporan polis,” katanya, hari ini.

Mohd Shahrul berkata, kedua-dua mangsa yang cedera kemudian dibawa ke Hospital Ranau untuk menerima rawatan.

“Mangsa bagaimanapun dirujuk ke HQE 1, Kota Kinabalu dan pemeriksaan awal melalui imbasan X-ray, terdapat anak peluru di hidung, dada, dan perut kedua-dua mangsa.

“Bagaimanapun keadaan kedua-dua mangsa yang bekerja sebagai petani itu dalam keadaan stabil,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti suspek yang melepaskan tembakan dalam kejadian itu.

“Polis meminta meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu menghubungi pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau, Inspektor Norhafiza Mohd Pozi di talian 0145220506 atau hubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960,” katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2019 @ 4:36 PM