BEKAS tukang kebun sekolah, Che Ya Che Mood, 73 dilaporkan hilang setelah keluar dari rumahnya pada Khamis lalu di Kampung Bukit Batu, Batu Balai, dekat Kuala Krai. FOTO Ihsan Pembaca
BEKAS tukang kebun sekolah, Che Ya Che Mood, 73 dilaporkan hilang setelah keluar dari rumahnya pada Khamis lalu di Kampung Bukit Batu, Batu Balai, dekat Kuala Krai. FOTO Ihsan Pembaca
Siti Nor Hidayatidayu Razali


LELAKI warga emas hilang sejak lapan hari lalu selepas keluar dari rumahnya untuk beriadah pada waktu pagi di Kampung Bukit Batu, Batu Balai, dekat Kuala Krai.

Warga emas berkenaan, Che Ya Che Mood, 73, keluar dari rumahnya pada 6 pagi Khamis lalu dan dilihat kali terakhir pada 24 Oktober lalu kira-kira 200 meter dari rumahnya.

Anak mangsa Zarina Risha Che Ya, 35, berkata, keluarganya bimbang dengan keselamatan ayahnya, yang sudah empat kali diserang angin ahmar, pelupa serta mempunyai penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Katanya, kali terakhir penduduk kampung melihat ayahnya memakai baju warna kuning, tidak berkasut dan memakai tongkat.

“Saya bimbang dengan keselamatan ayah dan berharap dia ditemui kembali. Kami sedih dengan kehilangan ayah, namun reda dengan kejadian ini.

“Kami sekeluarga berterima kasih kepada semua pihak termasuk pasukan keselamatan dan penduduk kampung yang mencari ayah,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan mangsa.

Katanya, mangsa kali terakhir dilihat penduduk di kawasan pembentungan air kira-kira 200 meter dari kediaman mangsa.

“Operasi mencari dan menyelamat mangsa dilakukan oleh anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan penduduk tempatan, namun tiada sebarang petunjuk.

“Pencarian dilakukan sekitar tempat mangsa kali terakhir dilihat, kawasan bukit, sungai, tali air termasuk hospital dan rumah kebajikan namun masih gagal.

“Operasi tetap diteruskan walaupun masuk hari kelapan dan sehingga mangsa ditemui,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 4:48 PM