Keadaan banjir di Kampung Parit Mahang, Kuala Selangor hari ini. FOTO Roslin Mat Tahir
Keadaan banjir di Kampung Parit Mahang, Kuala Selangor hari ini. FOTO Roslin Mat Tahir
BERNAMA

SEBANYAK 691 mangsa daripada 181 keluarga berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di empat negeri iaitu Selangor, Perak, Johor dan Pulau Pinang berikutan banjir setakat 4 petang tadi.

Di Selangor, mangsa banjir di daerah Kuala Selangor direkodkan 440 orang daripada 119 keluarga yang dipindahkan ke tiga PPS.

Jurucakap Smart Selangor Command Center berkata PPS Sekolah Kebangsaan (S.K) Parit Mahang dan SK Jaya Setia masing-masing mencatatkan peningkatan mangsa kepada 305 dan 46 orang, berbanding 164 dan 38 mangsa pagi tadi.

“PPS di Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor Desa Coalfields bagaimanapun mencatatkan penurunan apabila ia kini dihuni 89 orang berbanding 91 mangsa pagi tadi,” katanya hari ini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Hafisham Mohd Noor ketika ditemui di SK Parit Mahang berkata, pihaknya menjangka keadaan banjir di daerah itu akan bertambah buruk menjelang malam dan awal pagi esok berikutan diramal hujan petang ini selain fenomena air pasang yang dijangka berlaku awal pagi esok.

Di Perak, 125 mangsa masih berada di PPS Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak, Bagan Serai petang ini, meningkat sedikit berbanding 112 pagi tadi.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, semua penduduk itu adalah dari 29 keluarga yang terjejas banjir di daerah Kerian.

Dalam pada itu, 10 orang daripada empat keluarga kini ditempatkan di PPS di Dewan Orang Ramai Kampung Teras, Ijok dekat Batu Kurau, Selama susulan kejadian tanah runtuh semalam.

Di Pulau Pinang, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh berkata 110 mangsa daripada 30 keluarga di kawasan Bukit Mertajam masih ditempatkan di dua PPS iaitu Dewan Orang Ramai Projek Perumahan Rakyat (PPR) Tok Suboh dan Tadika Kemas Kampung Manggis.

“Sehingga petang ini, Dewan Orang Ramai PPR Tok Suboh menempatkan 84 orang daripada 23 keluarga manakala 26 orang daripada tujuh keluarga berada Tadika Kemas Kampung Manggis,” katanya.

Di Johor, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon berkata, hanya 16 mangsa daripada tiga keluarga masih berada di sebuah pusat pemindahan sementara di Batu Pahat.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, mereka yang terbabit ialah penduduk dari Kampung Sungai Kajang dan Bagan yang rumah mereka turut mengalami kerosakan selepas hujan lebat dan dibadai ribut dalam kejadian 21 Oktober lalu.

Menurutnya, sebuah lagi PPS iaitu SK Binjai yang menempatkan 39 mangsa daripada 10 keluarga, ditutup 2 petang tadi.

Di Negeri Sembilan mangsa yang dipindahkan ke PPS 69 orang daripada 23 keluarga di daerah Jelebu.

Di Kedah, Sekretariat Jawatankuasa Bencana Daerah Baling, Lt (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, tiga pusat PPS yang menempatkan 217 mangsa banjir daripada 57 keluarga ditutup 10.30 pagi tadi susulan keadaan banjir semakin surut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Oktober 2019 @ 7:41 PM