KETUA Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan bersama  Norazrin   (dua dari kanan) beramah mesra dengan penerima sumbangan.
KETUA Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan bersama Norazrin (dua dari kanan) beramah mesra dengan penerima sumbangan.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


PERSATUAN Keluarga Polis (Perkep) Malaysia sudah membantu kira-kira 100 individu di kalangan pegawai, anggota serta keluarga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang kurang bernasib baik dalam program jalinan kasih diadakan di seluruh negara.

Pengerusinya, Puan Sri Norazrin Marzuki berkata, sumbangan berbentuk wang tunai diberikan kepada warga PDRM yang masih berkhidmat, tetapi ditimpa musibah seperti kemalangan atau menghidap penyakit kronik bagi meringankan beban ditanggung.

“Setakat ini, kami sudah sampaikan sumbangan di kontinjen Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang.

“Kami akan teruskan di kontinjen lain termasuk Sabah dan Sarawak. Walaupun peruntukan kami terhad, Perkep Malaysia akan cuba cari dana dan bantu mereka,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada 19 penerima pada Program Jalinan Kasih Perkep Malaysia di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini, semalam.

Semua penerima terdiri dalam kalangan pegawai, anggota serta ahli keluarga PDRM yang masih berkhidmat di Pahang, tetapi ditimpa musibah.

Norazrin berkata, sumbangan disampaikan itu bukan sahaja membantu meringankan beban pesakit dan keluarga mereka malah menyuntik semangat, untuk terus hidup.

“Insya-Allah, kita akan adakan program seumpama ini dari semasa ke semasa dan bantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 6:25 AM