Mazlan (tengah) bersama Abd Jalil (kanan) dan Mohd Yusri (kiri) di majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Pahang di IPK Pahang, Kuantan, hari ini. Foto Farizul Hafiz Awang
Mazlan (tengah) bersama Abd Jalil (kanan) dan Mohd Yusri (kiri) di majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Pahang di IPK Pahang, Kuantan, hari ini. Foto Farizul Hafiz Awang
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


TIMBALAN Pengarah Pengurusan (Bahagian Dasar Sumber Manusia) Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abd Jalil Hassan dilantik sebagai Ketua Polis Pahang berkuat kuasa hari ini.

Abd Jalil, 56, mengambil alih tugas itu daripada Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad yang bertukar ke Bukit Aman sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman pada bulan lalu.

Penyerahan tugas Ketua Polis Pahang dilakukan antara Abd Jalil dan Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Mohd Yusri Hassan Basri yang sebelum ini memangku jawatan berkenaan.

Majlis penyerahan itu diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang sambil disaksikan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor.

Mohd Yusri menyerahkan nota tugas dan tongkat kuasa sebagai simbolik penyerahan tugas Ketua Polis Pahang kepada Abd Jalil.

Abd Jalil mempunyai pengalaman berkhidmat selama 30 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pernah dilantik sebagai Ketua Polis Melaka sebelum ini.

Bercakap kepada media, Abd Jalil memaklumkan beliau akan memanfaatkan pengalaman selama 30 tahun dalam PDRM untuk terus memastikan Pahang kekal aman dan selamat untuk didiami serta dikunjungi.

“Saya akan lakukan yang terbaik untuk memartabatkan visi dan misi pasukan serta jadikan Pahang negeri paling selamat dilawati.

“Memang indeks jenayah di Pahang paling rendah tetapi kita akan terus pertingkatkan untuk pastikan tiada kegusaran dalam masyarakat,” katanya.

Sementara itu, turut berlangsung majlis serah terima tugas antara isteri Mohd Yusri, Datin Junaidah Abdul Muti@Asa’ari dengan isteri Abd Jalil, Datin Dr Siti Alida John Abdullah sebagai Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Pahang yang disaksikan Naib Pengerusi PERKEP Malaysia Datin Farihah Mohd Zamri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 2:23 PM