Fairuz Zaidan


TOKAN dadah yang baharu tiga bulan dibebaskan daripada penjara ditahan polis bersama sejumlah dadah susulan serbuan yang dibuat di kawasan Masjid Tanah, Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superitendan Zulkiflee Rashid berkata, lelaki berusia awal 30-an itu ditahan bersama dadah disyaki heroin, syabu dan Eramin 5 yang kesemua barang rampasan dianggarkan bernilai kira-kira RM80,000.

“Susulan risikan yang dibuat selama sebulan, polis berjaya menahan seorang tokan dadah warga tempatan di dalam kereta di tepi jalan di Masjid Tanah, 9.50 malam, 17 Oktober lalu.

“Ketika ditahan, polis menemukan pelbagai jenis dadah di tempat duduk penumpang belakang kereta berkenaan iaitu sebanyak 835 gram dadah disyaki heroin, 31.3 gram dadah disyaki syabu dan 20 biji dadah disyaki Eramin 5. Keseluruhan nilai rampasan termasuk kenderaan dianggarkan sebanyak RM80,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) negeri, Bukit Beruang, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua JSJN negeri, Deputi Superitendan Mohd Akmal Abdullah dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, Huzaimi Mat Taib.

Zulkiflee berkata, lelaki itu direman selama tujuh hari sehingga esok dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Katanya, pihaknya percaya penahanan tokan dadah berkenaan berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran dadah di sekitar Masjid Tanah dan Alor Gajah.

Dalam pada itu, Zulkiflee berkata, JSJN negeri turut melancarkan pelbagai operasi iaitu Ops Ice Breaker (OIB), Ops Blue Devil (OBD), Ops Wanted Narkotik (OWN) dan Ops Junk Devil (OJD) di seluruh negeri ini bermula 28 Julai lalu hingga kelmarin.

Beliau berkata, sepanjang operasi OIB bermula 28 Julai hingga 4 Ogos lalu, 190 orang ditangkap bagi pelbagai seksyen kesalahan di bawah ADB 1952, Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 dan Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

“Bagi tangkapan OBD, 11 anggota polis anggota pangkat rendah ditahan termasuk sembilan daripadanya positif dadah, di mana mereka disiasat MENGIKUT Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952. Operasi yang dijalankan 18 Ogos lalu masih diteruskan hingga kini.

“Bagi OWN, 103 pemeriksaan tempat kediaman, di mana sebanyak 62 tangkapan setakan ini. Manakala OJD pula, pemeriksaan berjumlah 44 orang dan seorang didapati melanggar syarat sekatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 1:16 PM