ANGGOTA bomba membantu memindahkan mangsa.
ANGGOTA bomba membantu memindahkan mangsa.
ANTARA kereta yang ditenggelami air.
ANTARA kereta yang ditenggelami air.
Mohd Hasbi Sidek dan Amirul Aiman Hamsuddin


Rawang: “Penat mencuci rumah semalam (kelmarin) masih belum hilang. Hari ini (semalam) rumah saya sekali lagi ditenggelami banjir dan selut merah,” kata salah seorang penduduk Bandar Baru Kundang, Arman Tihi, 49, di sini.

Dalam bencana terbaru jam 9.30 pagi semalam, banjir sedalam lebih satu meter menenggelamkan kawasan perumahan yang didiami beratus penduduk di kawasan berkenaan.

Banjir kedua yang berlaku dalam tempoh tidak sampai 24 jam itu menyebabkan air banjir turut memasuki kediaman dan menenggelamkan perabot serta perkakas rumah.

Arman yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, dia terkejut dengan musibah yang datang mendadak itu.

“Saya sangkakan cuaca mulai pulih dan banjir beransur surut. Malah, saya mengambil cuti semalam (kelmarin) untuk membersihkan kediaman.

“Namun saya terpaksa mengambil cuti sekali lagi hari ini (semalam) untuk mencuci rumah terutama di bahagian lantai dan dinding,” katanya.

Arman berkata, perkakas rumahnya yang sudah dicuci terpaksa dibuang selepas lumpur tebal menenggelamkan sofa dan almari,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Mohd Shafrizal Mahyiddin, 25, berkata, hujan yang berterusan selama lebih dua jam semalam menyebabkan banjir menenggelamkan kawasan kediamannya.

“Saya dan keluarga segera naik ke tingkat dua kediaman sebaik air melimpah memasuki rumah. Kejadian banjir ini adalah yang terburuk pernah berlaku sejak tahun 2015,” katanya.

Sementara itu, tinjauan wartawan Harian Metro mendapati laluan Jalan Kundang, di sini, mengalami kesesakan teruk berikutan jambatan di kawasan itu masih ditenggelami banjir sehingga petang semalam.

Malah beratus penduduk yang mendiami kawasan perumahan di Taman Kundang Jaya di sini, turut terjejas berikutan seluruh kawasan itu ditenggelami banjir lumpur.

Rata-rata penduduk terpaksa memindahkan kenderaan masing-masing ke kawasan lebih tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2017 @ 5:51 AM