DAUD  bersama pengerusi jawatankuasa kemajuan kampung melihat pantai Kampung Bari Kecil yang mengalami hakisan.
DAUD bersama pengerusi jawatankuasa kemajuan kampung melihat pantai Kampung Bari Kecil yang mengalami hakisan.
Nurul Fatihah Sulaini


Permaisuri: Pembinaan benteng penahan ombak perlu disegerakan bagi mengurangkan hakisan sepanjang tiga kilometer di Pantai Kampung Bari Kecil, di sini yang dikhuatiri akan menjejaskan kawasan tanah perkuburan Islam berhampiran.

Penduduk, Daud Seman, 76, berkata, hakisan pantai mula berlaku sejak 2015 dan ia semakin serius selepas musim banjir awal tahun ini.

“Sebelum ini, terdapat wakaf (tempat rehat) dibina berhampiran pantai namun terpaksa dipindahkan ke seberang jalan kerana tapak asalnya sudah terhakis.

“Sekiranya hakisan ini terus berlaku, kami bimbang ia menjejaskan jalan tar yang baru dibina serta tanah perkuburan kira-kira 20 meter dari pantai,” katanya yang ditemui di Kampung Bari Kecil, di sini, semalam.

Seorang lagi penduduk, Mohamad Sabri Mohammad, 62, berkata, suasana pantai itu semakin sunyi daripada dikunjungi orang ramai sejak masalah hakisan pantai.

“Sebelum ini, kawasan pantai ini sering menjadi tempat perkelahan bukan saja kalangan penduduk setempat tetapi orang luar.

“Malah, kawasan pantai ini pernah menjadi lokasi penggambaran filem membabitkan pelakon terkenal tanah air tetapi kini ia semakin sepi,” katanya.

Menurutnya, pantai berkenaan turut menjadi tempat nelayan membawa naik hasil tangkapan laut tetapi sekarang nelayan terpaksa berpindah ke tempat lain kerana tebing pantai semakin tinggi dan sukar dinaiki.

“Jika mahu membawa ahli keluarga bersiar di pantai pun terpaksa pergi ke kawasan lain seperti Pantai Rhu Sepuluh kerana di sini sudah tidak selamat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2017 @ 10:24 AM