MANGSA diberikan rawatan awal selepas kejadian di Dataran Putrajaya, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
MANGSA diberikan rawatan awal selepas kejadian di Dataran Putrajaya, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
Siti A’isyah Sukaimi


KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memberikan bantuan kaunseling kepada mangsa yang trauma susulan kejadian belon helium meletup, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Menteri KPWKM berkata, bantuan itu akan diberikan kepada mangsa terbabit dengan segera.

“Saya berasa sedih kerana penganjuran sepatutnya menjadi temasya, tetapi bertukar tragedi.

“Seramai 16 mangsa terdiri daripada sembilan kanak-kanak dan tujuh dewasa melecur tahap satu dan dua serta sudah diberikan rawatan sepatutnya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Putrajaya, hari ini.

Dr Wan Azizah berkata, sewaktu lawatannya bertemu mangsa terbabit, beliau turut berjumpa kanak-kanak yang mengalami trauma.

“Ada seorang kanak-kanak trauma sedikit, nampak gaya dia tidak mampu menahan trauma. Mangsa terdiam apabila saya bertanya dan dia tidak berapa menjawab.

“Yang lain pula, doktor memberikan penjagaan yang baik,” katanya.

Ditanya bagaimana kejadian itu berlaku, Dr Wan Azizah berkata, berdasarkan taklimat diberikan kepadanya, beliau dimaklumkan ada ibu bapa mahu memberi belon kepada anak.

“Jadi ada yang guna api dan percikan api ini yang buat belon meletup dan sisa serpihan terkena mereka yang berdekatan.

“Jadi saya mengingatkan penganjur supaya lebih berhati-hati pada masa depan dalam penggunaan props yang mudah terbakar bagi sesuatu acara atau program,” katanya.

Sementara itu, jurucakap unit komunikasi Hospital Putrajaya berrkata, setakat ini enam pesakit melecur dimasukkan ke wad bagi rawatan lanjut manakala 10 lagi mangsa dibenarkan keluar hospital susulan kejadian berkenaan.

Berita berkaitan

Potong tali ikat belon guna 'lighter'

'16 cedera, melecur belon helium meletup'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Oktober 2019 @ 5:46 PM