BELON berisi gas yang meletup dalam program di Dataran Putrajaya, semalam. FOTO NSTP.
BELON berisi gas yang meletup dalam program di Dataran Putrajaya, semalam. FOTO NSTP.
Samadi Ahmad


PIHAK sekolah diminta supaya tidak menggunakan belon berisi gas dalam sebarang aktiviti, susulan insiden belon meletup selepas Program Kecergasan Kementerian Pendidikan Peringkat Kebangsaan 2019 di Dataran Putrajaya, semalam.

Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya (JPWPP) Farizah Ahmad berkata, ia bagi memastikan kejadian sama tidak berulang selain menjamin keselamatan semua.

Berikutan insiden itu, katanya, pihaknya menyalurkan bantuan khususnya rawatan lanjutan Pengurusan Stress Insiden Kritikal (CISM) kepada pelajar dan guru yang terbabit.

“Selain itu, kita juga mengarahkan beberapa guru kaunseling supaya membantu menerusi sesi kaunseling bersama murid yang mungkin terkesan dengan kejadian itu.

“Kita sudah menubuhkan ‘Smart Support Team’ yang sentiasa memantau mangsa di hospital termasuk menyediakan insurans kepada mangsa layak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Ketua Unit Sukan JPWPP, Sahnan Nuddin Abd Razak yang ditemui di Hospital Putrajaya berkata, program yang dilangsungkan semalam mengikut prosedur operasi standard (SOP) termasuk aspek keselamatan dan perubatan.

Katanya, ia insiden pertama kali berlaku sejak program itu diadakan bermula 2015 dan menganggap perkara itu di luar dugaan pihaknya.

Jelasnya, dari segi keselamatan, pihaknya bekerjasama dengan polis dengan penempatan 16 anggota, Jabatan Relawan Malaysia (RELA) seramai 25 anggota dan 15 penguat kuasa Perbadanan Putrajaya.

“Selain meletakkan 10 guru daripada Jawatankuasa Keselamatan Sekolah bagi membantu pihak berkuasa, kita juga menyediakan empat ambulans sebagai persediaan sekiranya berlaku kemalangan.

“Dalam masa terdekat, post mortem akan diadakan bagi membincangkan perkara itu dan membantu polis dalam siasatan mereka,” katanya.

Berita berkaitan

Belon meletup mungkin diisi gas lain - TPM [METROTV]

Belon meletup: 6 masuk wad

Potong tali ikat belon guna 'lighter'

'16 cedera, melecur belon helium meletup'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Oktober 2019 @ 4:18 PM