SEORANG mangsa menerima kunjungan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pendidikan Azhan Mohamad Mohd Amir (dua dari kanan) bersama Ketua Unit Sukan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Sahnan Nuddin Abd Razak (kanan) di Hospital Putrajaya. FOTO Samadi Ahmad.
SEORANG mangsa menerima kunjungan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pendidikan Azhan Mohamad Mohd Amir (dua dari kanan) bersama Ketua Unit Sukan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Sahnan Nuddin Abd Razak (kanan) di Hospital Putrajaya. FOTO Samadi Ahmad.
Roselan Ab Malek


EMPAT daripada enam mangsa insiden belon meletup, semalam yang dirawat di Hospital Putrajaya berkemungkinan dibenar pulang, hari ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, empat mangsa itu terdiri daripada tiga dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan.

“Sekiranya pakar mengesahkan keadaan mereka baik, mereka mungkin dibenar pulang hari ini.

“Dua lagi mangsa pula stabil, namun masih memerlukan rawatan di wad,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Koi Nak Sihat: Lain Weh! di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Lipis, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri Pahang Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.

Dalam kejadian di Dataran Putrajaya itu, belon dipercayai berisi gas helium meletup selepas selesai Program Kecergasan Kementerian Pendidikan Peringkat Kebangsaan 2019 menyebabkan 16 orang termasuk sembilan kanak-kanak melecur.

Insiden dipercayai berpunca daripada tindakan pengunjung berebut memotong tali yang mengikat tiga gugusan belon menggunakan pemetik api.

Dalam pada itu, mengulas mengenai status dan perkembangan projek Hospital Bera, Dr Dzulkefly berkata, projek itu dimulakan semula selepas terbengkalai pada 2015 dan dijangka siap menjelang akhir tahun ini.

“Pada 11 Oktober lalu, perkembangan projek sudah 90 peratus siap dan ia mungkin dapat memulakan operasi pada suku pertama tahun hadapan, bergantung kepada penjawatan bagi kakitangan hospital itu nanti.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah pun membuat permohonan bagi tujuan berkenaan,” katanya yang menekankan kepentingan kontraktor menyiapkan projek mengikut jadual ditetapkan.

Berita berkaitan

Jangan guna belon lagi!

Belon meletup mungkin diisi gas lain - TPM [METROTV]

Belon meletup: 6 masuk wad

Potong tali ikat belon guna 'lighter'

'16 cedera, melecur belon helium meletup'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Oktober 2019 @ 5:40 PM