DR MAHATHIR. FOTO Arkib NSTP
DR MAHATHIR. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

KERAJAAN sedia mengkaji sebarang pembidaan daripada mana-mana pihak untuk membeli PLUS Malaysia Bhd (PLUS), kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, kerajaan mengambil pendekatan terbuka terhadap sebarang pembidaan dan akan membuat keputusan mengikut kesesuaian dan kehendak negara.

“Apa-apa pembidaan oleh sesiapa akan dikaji kerajaan, kalau dia (bidaan) sesuai dengan kehendak kita, kita akan layan permintaan mereka,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen di Kuala Lumpur, hari ini.

Media hari ini, melaporkan firma ekuiti persendirian berpangkalan di Hong Kong milik rakyat Malaysia, RRJ Capital Ltd yang menaikkan tawaran pengambilalihan syarikat konsesi lebuh raya PLUS kepada RM3.5 bilion berbanding RM3 bilion yang ditawarkan sebelum ini.

Pemegang saham utama PLUS, Khazanah Nasional Bhd pada 5 Oktober lalu dilaporkan tidak berminat untuk menjual aset strategik itu kepada mana-mana pihak.

Ditanya sama ada penjualan aset seperti PLUS akan menjejaskan pendapatan negara, Dr Mahathir berkata, kerajaan mempunyai sebuah jawatankuasa khas untuk memantau isu berkaitan ekonomi termasuk jumlah hutang negara.

“Kita ada satu jawatankuasa untuk perhatikan masalah hutang dan pembayarannya. Ia (jawatankuasa ini) akan beri sebarang cadangan untuk kurangkan hutang negara,” katanya.

Mengenai spekulasi Japan Airlines Co Ltd (JAL) akan menjadi pesaing bagi membeli pegangan dalam syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines, Perdana Menteri berkata, beliau akan menyerahkannya kepada Khazanah untuk memutuskan perkara itu.

Khazanah, dana pelaburan negara, adalah pemegang saham tunggal Malaysia Airlines.

“Saya belum bercakap dengan mereka (Khazanah) tetapi ada ramai pesaing (yang berminat) termasuk syarikat tempatan, (jadi) terpulang kepada Khazanah untuk memutuskannya,” kata Dr Mahathir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Oktober 2019 @ 3:32 PM