DR Mahathir bersama pemimpin negara Asean, semalam.
DR Mahathir bersama pemimpin negara Asean, semalam.
BERNAMA

BANGKOK: Kerajaan akan mencari jalan terbaik menyelesaikan masalah kewangan membelenggu Plus Malaysia Berhad (Plus), kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, pilihan terbaik buat masa ini adalah untuk syarikat dana pelaburan negara Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) yang juga pemegang saham utama dalam Plus supaya dapat mengurus untuk menyelesaikan hutang berkenaan.

“Kita nak tengok mana yang terbaik mungkin. Kalau Khazanah urus, boleh selesai hutang, ok la,” katanya kepada media Malaysia dalam sidang akhbar sempena Sidang Kemuncak Asean ke-35 di sini, semalam.

Sebelum ini dilaporkan Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, Khazanah syarikat dana pelaburan negara tidak berminat menjual Plus yang juga syarikat konsesi lebuh raya terbesar negara.

Khazanah memiliki 51 peratus kepentingan dalam Plus manakala 49 peratus lagi dipegang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) susulan pengambilalihan pada 2011 dengan nilai transaksi RM32 bilion.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, kerajaan bersedia melepaskan Plus jika ada pihak yang sanggup membayar harga tinggi untuk mengambil alih dan menanggung hutang yang dialaminya.

“Kalau ada orang lain menawarkan untuk mengambil alih hutang sampai RM30 bilion, itu sesuatu yang baik. Bagi kerajaan, kita (akan) cakap dengan Khazanah,” katanya.

Minggu lalu, konglomerat pembinaan dan pengurusan fasiliti bersepadu, Widad Business Group Sdn Bhd menaikkan tawaran bagi Plus dengan tawaran baharu untuk mengambil alih 100 peratus kepentingan ekuiti dalam syarikat itu kepada RM5.3 bilion daripada RM3 bilion sebelum ini.

Tawaran itu termasuk pengecualian pampasan RM3.04 bilion dan andaian hutang RM30 bilion, jumlah nilai perusahaan bagi tawaran itu RM38.34 bilion.

Ia dilaporkan sebagai bidaan tertinggi daripada sektor swasta setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 6:57 AM