FOTO hiasan
FOTO hiasan
BERNAMA

LAGU ‘Negaraku’ tidak perlu ditukar hanya kerana beberapa pihak mempertikaikan keasliannya, tegas Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Katanya, Lagu Kebangsaan yang dipersetujui digunakan semua negeri termasuk Sarawak ketika menyertai Malaysia pada 1963, adalah identiti negara dan bukannya sesuatu yang boleh ditukar sewenangnya seperti lagu hiburan.

“Kalau Lagu Kebangsaan (Negaraku) ini sudah diterima, kita akur dan hormati lagu itu. Janganlah dipersendakan dengan mengatakan ia dibuat orang putih dan sebagainya,” katanya selepas merasmikan Acara What About Kuching (WAK) Ke-3 dan Persidangan Manik Antarabangsa Borneo Ke-6, di Kuching, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Presiden Parti Bumi Kenyalang, Voon Lee Shan seperti dilapor media tempatan yang mahu lagu itu ditukar kerana kurang asli dan berasal daripada rentak ‘Le Rosalie’ ditulis ahli muzik Perancis, Pierre-Jean de Beranger.

Abdul Karim berkata, sekiranya ada pihak yang merasakan Sarawak tidak mendapat hak sepatutnya dalam Malaysia, ketidakpuasan hati mereka perlu ditunjukkan di platform lebih sesuai bukannya dengan tidak menghormati Lagu Kebangsaan.

“Itu boleh ditunjukkan ketika pilihan raya dan bukan ditunjukkan ketika Lagu Kebangsaan (Negaraku) berkumandang atau tidak menghormati bendera (Malaysia) yang sedang dinaikkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 7:17 PM